suria

Baru tahu cara simpan lemang dengan betul, boleh tahan sampai dua bulan!

Cara penyimpanan yang betul dapat mengelakkan lemang daripada mudah rosak. -Gambar hiasan AI

LEMANG merupakan antara juadah tradisional yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Dimasak menggunakan beras pulut dan santan, lemang terkenal dengan rasa lemak berkrim serta teksturnya yang lembut. 

Namun begitu, kandungan santan sebagai bahan utama menyebabkan lemang mudah rosak atau basi jika tidak disimpan dengan cara betul.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu masak rendang tapi cepat basi? Cuba semak balik cara anda kisar bahan, mesti terlepas pandang panduan betul

Seorang individu, @pd0ts tampil berkongsi tip cara penyimpanan lemang yang betul agar ia tidak mudah rosak dan tahan lama.

Jelasnya, tempoh masa lemang perlu diambil kira bagi memastikan teknik menyimpan yang sesuai dan tahan lebih lama.

1 hingga 2 hari (suhu bilik)

Simpan lemang tanpa membuka balutan buluh atau daun. Letakkan di tempat yang kering dan sejuk.

Elakkan menggunakan plastik tertutup kerana ia boleh memerangkap kelembapan dan mempercepatkan proses basi.

Tiga hingga lima hari (peti sejuk)

Potong lemang kepada beberapa bahagian sebelum disimpan. Gunakan bekas kedap udara bagi mengekalkan kesegaran serta mengelakkan pencemaran bau daripada makanan lain.

Satu hingga dua bulan (freezer)

Untuk simpanan lebih lama, potong lemang mengikut saiz hidangan. Balut dengan ketat sebelum dimasukkan ke dalam freezer bagi mengelakkan pembentukan ais dan mengekalkan tekstur.

Cara panaskan semula

Apabila ingin menikmati semula lemang yang telah disimpan, kaedah pemanasan memainkan peranan penting. 

Lemang boleh dikukus untuk mengembalikan tekstur asalnya. Selain itu, penggunaan ketuhar gelombang mikro juga sesuai dengan menambah sedikit air agar lemang kembali lembut dan tidak kering.

Langkah elak lemang cepat rosak

Bagi mengelakkan lemang cepat basi, pastikan ia tidak disimpan ketika masih panas kerana wap haba boleh menyebabkan kelembapan berlebihan.

Kebersihan juga perlu dititikberatkan, termasuk penggunaan pisau dan bekas yang bersih semasa mengendalikan lemang.

Kenali tanda lemang basi

Antaranya ialah bau masam, tekstur berlendir serta rasa yang pelik. Sekiranya terdapat tanda-tanda ini, lemang tersebut perlu dibuang serta-merta bagi mengelakkan risiko kesihatan.

Artikel Lain