suria

XChat nak gantikan WhatsApp? Elon Musk lancar aplikasi sembang baharu, boleh buat panggilan video

Orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi sembang untuk berkomunikasi antara satu sama lain. -Gambar hiasan AI

PLATFORM X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter melancarkan ciri terbaharunya, XChat untuk pengguna berbayar terpilih. 

Dalam pengumuman pada Ahad, pemilik X iaitu Elon Musk menggambarkan XChat sebagai sistem sembang serba baharu.

Tambah Musk, XChat juga dilihat berpotensi menyaingi aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.

Alat pemesejan baharu ini memperkenalkan enkripsi hujung ke hujung, mesej yang boleh hilang secara automatik, perkongsian fail menyeluruh serta panggilan audio dan video.

Pengenalan fungsi ini selari dengan usaha X untuk menjadi pusat kehidupan digital penggunanya.

Elon Musk merancang untuk menjadikan X sebagai platform lengkap buatpenggunanya.

Bagaimanapun setakat ini X masih belum memberikan butiran lanjut mengenai model enkripsi yang digunakan.

Ciri ini kini sedang diuji dalam kalangan pelanggan berbayar X, dan menurut laporan TechCrunch, mesej pengguna akan dilindungi oleh kod pin empat digit.

Untuk rekod pada tahun 2023 X pernah memperkenalkan sistem pemesejan untuk pengguna berbayar, namun ciri tersebut dihentikan minggu lalu bagi tujuan penambahbaikan, dipercayai sebagai persediaan kepada pelancaran XChat.

Dorongan ke arah pemesejan yang lebih peribadi dan selamat ini selaras dengan usaha Musk yang mahu mengubah X daripada sekadar platform umum untuk perbincangan tular dan debat trending. 

Musk secara terbuka menyatakan hasrat menjadikan X sebagai 'aplikasi segalanya' seperti WeChat di China, yang merangkumi pemesejan peribadi, janji temu, perbankan digital dan pelbagai fungsi lain. 

Tahun lalu, Musk menyatakan matlamatnya untuk menjadikan X sebagai laman janji temu dan bank digital yang lengkap menjelang 2024. - Agensi.

Artikel Lain