suria

Tak perlu upah tukang cuci profesional! Ini 4 cara mudah hapuskan kulat dinding, sembur-sembur hilang

Kulat boleh muncul pada dinding dan siling rumah.

SERING kita lihat terdapat banyak tompokan hitam berdebu pada siling dan dinding rumah atau pejabat.

Tahukah anda ia sebenarnya merupakan spora halus yang dibebaskan oleh kulat atau juga dikenali sebagai mold.

Kulat dinding ini boleh berlaku kerana persekitaran yang lembab akibat kebocoran paip air atau sistem pengudaraannya yang tidak lancar.

Tetapi perlu diambil perhatian bahawa tompokan ini bukan sahaja sekadar kulat kerana ia boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan.

Kulat mengeluarkan spora halus yang boleh menyebabkan penyakit.

Sekiranya kulat ini disedut masuk ke paru-paru ia akan menyebabkan iritasi dan radang kepada saluran pernafasan sehingga boleh mengakibatkan sesak nafas, selsema dan batuk.

Terdapat empat cara mudah boleh dilakukan untuk menghapuskan kulat daripada terus 'berleluasa' di dalam rumah sehingga memudaratkan kesihatan kita.

1. Klorin

Klorin atau bahan kimia peluntur untuk memutihkan pakaian boleh digunakan untuk membuang kotoran kulat.

Anda hanya perlu menyapu permukaan kulat menggunakan kain yang dibasahi klorin.

Kemudian, bilas permukaan tersebut selepas dibiarkan selama 15 minit.

2. Hidrogen peroksida

Hidrogen peroksida ialah sejenis cecair jernih yang lebih likat berbanding air.

Masukkan cecair tersebut ke dalam botol semburan sebelum digunakan.

Sembur pada bahagian berkulat, ia akan mengambil masa selama 15 minit untuk berlakunya tindak balas.

Lap dan bersihkan permukaan tersebut dengan membilasnya menggunakan air bersih.

Cuka dan soda bikarbonat boleh menyingkirkan kulat pada dinding.

3. Cuka

Tuang cuka masakan ke dalam botol semburan sebelum digunakan.

Sembur pada bahagian kulat dan biarkan selama satu jam.

Kemudian, gosok bahagian berkulat dengan menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu keluaran sintetik, nilon.

4. Soda bikarbonat atau garam

Campurkan sedikit campuran soda bikarbonat atau garam ke dalam bekas yang diisi air dalam kuantiti sedikit.

Kacau sehingga bahan tersebut menjadi cecair berbentuk pes.

Sapu pada bahagian yang ditumbuhi kulat dan biarkan selama 30 minit.

Kemudian, bilas kawasan tersebut menggunakan air yang bersih.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain