suria

Jangan tidur atas sarang kuman, ketahui berapa kerap anda perlu tukar cadar, sarung bantal

Cadar yang kotor boleh menyebabkan alahan, kerosakan kulit, asma, dan banyak masalah kesihatan lain.

SETIAP minggu, kita kebiasaannya menghabiskan kira-kira 49 hingga 60 jam untuk tidur di atas katil. Dalam tempoh tersebut juga, cadar dan sarung bantal kita mengumpul segala kotoran, peluh, minyak, dan lain-lain yang terhasil daripada tubuh kita.

Cadar yang kotor boleh menyebabkan alahan, kerosakan kulit, asma, dan banyak masalah kesihatan lain, selain mampu mengganggu kualiti tidur kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabiat buat kerja atas katil, awas anda terdedah gangguan mental!

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu rumah selesa, tapi ramai abaikan kebersihan terutama 6 perkara ini

Justeru, penjagaan kebersihan tempat tidur adalah amat penting memandangkan kita menghabiskan banyak masa di atas katil, tetapi berapa kerap sebenarnya kita harus mencuci cadar dan sarung bantal?

erick-palacio-_B9J6abAHPA-unsplash

Tempat tidur yang bersih dan kemas mampu meningkatkan kualiti tidur.

Menurut pakar, cadar tilam harus ditukar setiap seminggu atau dua minggu sekali bagi mengelakkannya menjadi 'rumah' kepada kuman dan bakteria.

Pensyarah mikrobiologi perubatan dari Universiti Westminster, London, Manal Muhammad berkata katil yang kita tidur boleh menjadi sarang kepada beberapa spesis bakteria seperti Staphylococcus Aureus yang boleh menyebabkan jangkitan kulit, pneumonia dan jerawat teruk.

"Tilam juga boleh menjadi sarang kepada bakteria dan kuman kerana terdapat pengelupasan kulit, sisa makanan dan kulat selama bertahun-tahun.

"Oleh kerana sukar untuk mencuci tilam, penggunaan sarung yang boleh dibasuh - dan mencucinya setiap satu atau dua minggu - dapat membantu mengurangkan jumlah kuman yang tinggal di atas tilam," katanya.

Dia juga mengesyorkan supaya sarung bantal ditukar setiap dua atau tiga hari.

adam-kuylenstierna-XB6YpNF1QuY-unsplash

Pakar juga menasihatkan supaya tidak membenarkan haiwan peliharaan berada di atas katil.

Tambahnya, cadar dan sarung bantal harus dicuci menggunakan suhu yang tinggi iaitu sekitar 40-60 celsius supaya dapat membunuh kuman dengan berkesan.

Selain itu, dia turut menyarankan orang ramai supaya mandi sebelum tidur untuk memastikan cadar sentiasa bersih.

"Elakkan tidur di atas katil ketika berpeluh, tanggalkan mekap dan elakkan memakai losyen, krim dan minyak sebelum tidur. Jangan makan atau minum di atas katil dan jauhkan haiwan peliharaan dari kawasan cadar," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain