suria

Anak kelahiran P.Pinang sertai ahli lembaga pengarah Meta, pernah beri nasihat kepada Mark Zuckerberg dan pasukan

Meta merupakan syarikat induk untuk Facebook.

SYARIKAT induk Facebook, Meta mengumumkan pelantikan anak jati Pulau Pinang, Tan Hock Eng sebagai ahli baharu lembaga pengarahnya.

Hock Eng sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Broadcom, sebuah syarikat semikonduktor sejak tahun 2006.

Selain itu, Hock Eng juga pernah menyandang jawatan pengurus kanan dengan PepsiCo dan General Motors, bertindak sebagai naib presiden kewangan dengan Commodore International dan Pengarah Urusan Pacven Investment.

Tidak dilupakan juga jawatannya sebagai pengerusi bagi lembaga Teknologi Peranti Bersepadu.

Hock Eng dalam satu kenyataan media daripada Meta berkata dia berbesar hati untuk menyertai lembaga Meta dan mahu memberi sumbangan bagi mencapai visi syarikat.

Hock Eng pernah memegang jawatan sebagai pengerusi bagi lembaga Teknologi Peranti Bersepadu.

Hock Eng pernah memegang jawatan di pelbagai syarikat gergasi.

“Meta mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan dalam pengkomputeran generasi masa hadapan kerana ia mengembangkan tawaran platform dan aplikasinya.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan Mark dan ahli Lembaga Pengarah yang lain dalam perjalanan untuk mengembangkan teknologi dan perniagaan Meta," ujarnya.

Turut bergandingan dengan Hock Eng menyertai lembaga pengarah Meta adalah John Arnold, pengasas bersama dana dermawan Arnold Ventures, mempunyai latar belakang dalam industri tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dalam satu hantaran di Facebook berkata, penambahan ahli lembaga pengarah baharu akan membantu syarikat mencapai objektif jangka panjangnya.

"Tatkala kami memberi tumpuan kepada pembangunan AGI (kecerdasan am buatan), adalah penting untuk mempunyai pengarah yang mempunyai kepakaran mendalam berkaitan silikon dan infrastruktur tenaga bagi membantu kami melaksanakan visi jangka masa panjang.

"Hock ialah Ketua Pegawai Eksekutif Broadcom, salah satu syarikat semikonduktor terkemuka di dunia. Saya mengenalinya ketika dia menasihati saya dan pasukan Meta secara tidak rasmi.

"John Arnold adalah pengasas Arnold Ventures.

"Dia membawa kepakaran mendalam bagi aspek kewangan dan tenaga, yang akan menjadi kritikal semasa kami membina infrastruktur berskala besar untuk melatih dan menggunakan model AI masa hadapan," tulisnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain