suria

HOD syarikat swasta balik kampung, jadi CEO of Palatao di tanah belakang rumah mak! Tanam apa pun menjadi walau tiada ilmu pertanian

Wanita ini hanya mengusahakan tanah di belakang rumah ibu bapanya untuk menanam pelbagai jenis sayur dan buah-buahan.

MELIHAT hasil tuaian daripada tanaman yang diusahakan di kebun kecilnya, siapa sangka wanita ini sebenarnya langsung tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian.

Namun, perkara itu bukanlah alasan untuk dia memendam minat berbudi kepada tanah.

Mungkin berkat tangannya yang 'menjadi' selain didorong minat aktiviti berkebun, wanita ini tidak teragak-agak memilih untuk terus berkecimpung dalam bidang pertanian.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Pekebun Palatao berkata, segala-galanya bermula dengan satu peristiwa yang membuatkannya bertekad untuk pulang ke kampung dan berada dekat dengan kedua ibu bapa.

"Sebelum ini saya bekerja dalam bidang business consulting, operational excellence dan marketing.

"Sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung, saya menjawat jawatan HOD (ketua jabatan) pengurusan kempen dan creative content di sebuah syarikat swasta.

"Apabila datuk saya meninggal dunia dan saya mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai ke kampung, ia membuatkan saya banyak berfikir untuk berada lebih dekat dengan keluarga.

palatao 2

Hasil tuaian yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Dengan pelbagai situasi yang berlaku pada waktu itu, akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa," ujar wanita berusia awal 30an ini.

Mempunyai latar belakang ijazah sarjana muda Sains Kemanusiaan Psikologi dan ijazah sarjana Psikologi Industri dan Organisasi (IO Psychology), wanita ini berkata, dia banyak mempelajari ilmu pertanian secara sendiri (self-taught).

ARTIKEL BERKAITAN: Pandai buat parodi, melawak di TikTok... Doktor KK ini makin popular bagi teguran ‘deep’ hal masyarakat... Rupanya isteri jadi videographer!

ARTIKEL BERKAITAN: Tunjuk minat bidang pastri, remaja Sindrom Down mampu jana duit poket sendiri... Masak nasi goreng sosej pun boleh!

"Seperti nama akaun TikTok saya, Pekebun Palatao, saya benar-benar buat 'kepala tahu' sahaja sewaktu saya mula berkebun dan main tanam sahaja.

"Dan sedikit demi sedikit saya belajar. Saya juga bersyukur ayah saya seorang pesara pegawai di Jabatan Pertanian. Banyak dari ilmu pertanian, saya belajar dari ayah.

"Rujukan utama untuk maklumat tentang tumbuhan dan herba tempatan yang saintifik dan boleh dipercayai, saya banyak rujuk dari buletin dan artikel yang dikeluarkan oleh Mardi dan FRIM.

"Selain selalu membuat carian di internet, saya juga banyak belajar dari geng kebun lain di media sosial untuk maklumat umum," katanya yang menetap di Melaka Tengah, Melaka.

palatao 1

Tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian, namun tanaman wanita ini benar-benar 'menjadi'.

Mengusahakan kebun di tanah belakang rumah seluas 6x30 meter, setakat ini hampir 100 jenis tanaman yang terdapat di kebun kecilnya.

Wanita ini menambah, dia pada mulanya hanya membuat konten untuk berkongsi minat semata-mata.

"Sejujurnya, saya tak sangka ramai yang minat berkebun ni. Buat masa ni sikit-sikit sahaja jualan benih dan anak pokok yang saya buka untuk jualan secara dalam talian.

"Memandangkan kebun saya kecil sahaja, tiada ruang khas untuk saya jadikan nurseri untuk anak-anak pokok.

"Buat masa ni cuma terbuka kepada ahli keluarga dan kawan-kawan rapat.

Bukan tiada yang menghina, ada. Ada yang mengatakan, 'alah, kan berkebun je hari-hari?'

PEKEBUN PALATAO

"Doakan suatu hari nanti saya dapat membuka ladang Pick & Pay yang lebih besar, bolehlah ramai-ramai datang melawat dan memetik hasil," ujarnya.

Bukan tiada 'cakap-cakap' belakang yang memandang remeh bidang yang diceburinya, namun baginya, apa yang penting adalah sokongan padu daripada ibu bapa dan insan yang rapat.

"Bukan tiada yang menghina, ada. Ada yang mengatakan, 'alah, kan berkebun je hari-hari?' dan ada juga yang berkata kepada saya, 'pergi kerjalah'.

"Tapi dua tiga orang berbanding ramai yang memberi sokongan, apalah sangat.

"Di samping berkebun, saya juga develop content dan designs untuk pemilik perniagaan lain.

"Dan saya pun tak perlu susah-susah untuk terangkan semua kerja yang saya buat kepada semua orang," kongsinya.

palatao

Hampir 100 jenis tanaman yang ditanam di kebun kecil wanita berkenaan.

Setahun menjadi content creator dengan menggunakan akaun CEO of Pekebun Palatao, wanita ini sama sekali tidak menyangka dia sudah mengumpul pengikut seramai hampir 140,000 orang di TikTok.

Malah dia juga berkolaborasi dengan pengeluar barangan untuk tanaman yang 100 peratus organik, Milagro.

"Sejujurnya saya pun masih beginner buat masa ini. Tapi saya sangat menggalakkan lebih ramai belajar berkebun.

"Selain dapat berbudi kepada tanah dan mendapat hasil tanaman, ia juga suatu terapi untuk melepaskan tekanan selepas seharian melalui hari yang sibuk.

"Saya berharap agar melalui content saya dapat menyumbang perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dan ingin mengajak lebih ramai lagi mula berkebun.

"Selain itu, saya juga berdoa agar suatu hari nanti, ilmu pertanian yang saya pelajari ini dapat menjana ekonomi yang lebih stabil dan tetap buat saya dan keluarga. InsyaAllah," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain