suria

Rita Sosilawati pernah rasa terbeban ibu terlalu tegas, kini terbawa-bawa sikap arwah ketika urus bisnes, keluarga

Rita sentiasa merindukan ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang meninggal dunia pada 2010.

SUDAH 12 tahun usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati mengemudi empayar perniagaan yang ditinggalkan oleh arwah ibunya selepas figura ikonik itu meninggal dunia.

Pada usia yang cukup muda, Rita menggalas tanggungjawab itu dengan penuh amanah dan berdedikasi selain perlu menguruskan adik-beradik lain selepas ketiadaan ibu tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri ‘bukan guru’ tak sangka berjaya bina empayar MyTutor, sasar tersenarai Bursa Saham pada 2026

Bagaimanapun semua itu bukan perkara sukar buat dirinya kerana sejak kecil Rita yang kini berusia 37 tahun sudah dididik oleh ibu, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya tentang erti tanggungjawab dan berdikari.

"Arwah ibu seorang yang tegas bukan sahaja dalam bidang perniagaan tetapi menguruskan kami adik-beradik.

Rita dan Ibu

Gambar kenangan Rita bersama ibu tercintanya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

"Beliau juga seorang yang cukup pembersih selain cukup teliti dalam setiap kerja yang dilakukan.

"Meskipun pernah rasa terbeban dengan ketegasannya itu tetapi kini saya mula faham bagaimana ia membentuk diri saya hari ini," katanya.

Rita ditemui selepas melancarkan program Bersama Menyemarakkan Keikhlasan di Hari Raya di Bangsar Shopping Centre baru-baru ini.

Antara tabiat ibunya yang terbawa-bawa sehingga ke hari ini, Rita memberitahu sebelum keluar bekerja, dia akan memastikan makanan untuk suami dan anak-anak sudah tersedia.

Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan, Rita berkata, dia tidak pernah mengabaikan perkara itu kerana itu juga adalah amalan arwah ibunya.

photo6242324289009332320

Rita bersama suami dan empat anak mereka.

"Arwah sentiasa akan pastikan, sesibuk mana pun dia, dia akan siap masak untuk kami adik-beradik dan itulah rutin yang saya terbawa-bawa sehingga ke hari ini," katanya.

Rita berkahwin dengan Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah dan pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.

#bilaritamasak kongsi resepi bersama pengikut laman sosial

Sementara itu, Rita berkata, sejak mempunyai anak, dia memang suka memasak selain menyifatkan perkara itu sebagai salah satu terapi selepas seharian sibuk bekerja.

Malah Rita turut mewujudkan tanda pagarnya sendiri di Instagram iaitu #bilaritamasak bagi berkongsi resepi kepada pengikutnya di laman sosial itu.

"Alhamdulillah berkat belajar daripada arwah ibu dan usaha diri sendiri, memasak sudah menjadi rutin harian apatah lagi kini saya seorang ibu kepada empat cahaya mata.

photo6242324289009332322

Rita berkongsi resepi di Instagram dengan tanda pagar #bilaritamasak

"Aktiviti ini bukan sahaja sebagai terapi tetapi ia turut membuatkan saya teringat momen bersama arwah ibu yang tidak pernah culas memasak untuk kami sebelum keluar bekerja.

"Kini saya mahu memori itu juga tersemat dalam minda anak-anak bahawa ibunya sentiasa memasak juadah enak untuk mereka," jelasnya.

Sibuk tetap masak, tiada idea cari dalam internet

Biarpun sentiasa sibuk, Rita berkata, memasak sebenarnya bukanlah perkara sukar dan mengambil masa lama cuma penyediaan bahan mentah yang memakan waktu.

Biasanya kata Rita, dia akan meminta bantuan pembantu menyediakan bahan mentah atau menyiapkan bahan-bahan itu sehari sebelum dia ingin memasak.

"Jika semua bahan dah tersedia, InsyaAllah dalam tempoh 20 minit dah boleh siap," katanya.

Rita

Selain menguruskan perniagaan dan keluarga, Rita turut meluangkan masa melakukan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.

Sepanjang bulan Ramadan, Rita memberitahu kebiasaannya dia akan menyediakan bahan-bahan untuk memasak selepas bersahur ataupun sebelum tidur.

"Masakan rumah ini bukan sahaja istimewa tetapi boleh meningkakan kesihatan kerana kualitinya dijamin bersih! Makanan yang sihat juga mampu membantu kecergasan seharian ketika berpuasa," katanya.

Seperti wanita lain, Rita mengakui adakalanya dia juga kehabisan idea untuk memasak juadah buat keluarga namun sering mencari idea menerusi YouTube atau Instagram.

"Sebab itu apabila saya kongsi video masakan di Instagram saya akan letak hashtag agar mudah orang cari sekiranya mereka tiada idea," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai program CSR bersama ESH Elektrik, Rita berkata, dia berbesar hati apabila dilantik sebagai Duta ESH Raya 2022.

Rita Sosilawati menjadi dutaraya ESH 2022

Pengerusi ESH Electrical, Edward Ng (kiri) bersama Rita bersama wakil daripada PANDAN.

ESH Electrical Sdn Bhd merupakan pembekal utama produk elektrik ini bekerjasama dengan Rita untuk membantu mangsa banjir di Terengganu.

Di samping barangan elektrik sumbangan ESH Elektrik, Rita juga akan menyumbangkan keperluan asas untuk kegunaan harian mangsa.

Sebanyak 200 keluarga akan menerima bantuan itu dengan bantuan Persatuan Anak Niaga dan Aktiviti Nirmala (PANDAN) di Kampung Kemat dan Kampung Menjing, Terengganu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain