suria

Hasil gabungan 2 generasi, 'lahir' parang buatan anak Malaysia ke seantero dunia

Ahmad Nadir mula memasarkan parangnya sejak 2008.

PERSAMAAN minat terhadap seni membuat parang bukan sahaja mempertemukan dua lelaki berbeza latar belakang dan generasi, malah membuahkan hasil lumayan sehingga membuka peluang eksport ke seluruh dunia.

Anak kacukan Melayu dan Jerman ini, Ahmad Nadir Iskandar, 43 melibatkan diri dalam bidang perniagaan membuat parang pada tahun 2008 dengan memasarkan barangan aktiviti rekreasi termasuk kelengkapan perkemahan menerusi syarikatnya, Outdoor Dynamics.

Parang-parang yang kebanyakannya berhulu kayu ini dipasarkan atas jenama Myparang.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes ayam panggang menjadi! Tiba masa 2 abang gemuk bantu tambah rezeki orang lain

Untuk parang yang dijual ini, bilahnya diperolehi daripada seorang tukang besi dari Bidor, Perak bernama Chin Pin Yon, 79, yang mengusahakan perniagaan keluarga, Kilang Besi Bidor, Cap Dua Pedang Silang, syarikat yang ternama di Perak.

Bilah parang yang dibeli daripada Kilang Besi Bidor itu kemudiannya diperkemaskan sendiri oleh Ahmad Nadir dan pekerjanya di bengkel Myparang yang terletak di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang.



Bilah parang yang dibeli daripada Kilang Besi Bidor itu kemudiannya diperkemaskan sendiri oleh Ahmad Nadir sendiri.

Permintaan tinggi

Ahmad Nadir memberitahu, sebelum ini beliau turut menganjurkan aktiviti outdoor di sekitar Pulau Pinang yang disertai juga pelancong luar negara. Semasa itulah parang yang digunakannya mendapat perhatian dan menimbulkan minat dalam kalangan peserta.

Peserta itu kemudiannya merujuk kepada buku “SAS Survival handbook” - antara "kitab” utama pengumpul pisau ditulis oleh John Wiseman, bekas komando British Special Air Service (SAS), yang terlibat pada zaman darurat di Malaya.

"Buku itu antara lain menyebut tentang parang sebagai peralatan yang wajib ada untuk survival di hutan. Daripada situ mereka mula berminat kepada parang dan mahu membelinya.

"Pada tahun 2014 saya mula menumpukan perniagaan menjual parang secara dalam talian untuk pasaran dalam dan luar negara apabila permintaan naik mendadak," kata Ahmad Nadir dalam wawacara eksklusif dengan Bernama di bengkel Myparang baru-baru ini.



Chin membuat bilah mata parang 'Duku Chandung'.

Menurut Ahmad Nadir, dia mendapat banyak permintaan dari peminat luar negara untuk parang berhulu kayu untuk dijadikan koleksi dan digunakan bagi kegiatan outdoor.

Untuk memenuhi kehendak pembeli, Ahmad Nadir menempah khas hulu kayu keras diperbuat daripada Birchwood bagi memastikan kualiti, untuk parang-parang yang dipasarkannya itu.

Ahmad Nadir melantik pengedar terbesar Myparang di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memborong dalam kuantiti banyak.

Dia juga mempunyai pengedar MyParang lain di Singapura, Taiwan, Jepun serta Rusia, sementara di dalam negara, beliau mempunyai 14 peruncit yang memasarkan parang Myparang.

"Paling jauh parang Myparang di hantar ialah ke Kanada dan tempat yang paling terpencil pula, di Guam. Orang putih suka parang kerana ia berasal dari Malaysia, buatan tangan, serta lasak.

"Ciri-ciri kelebihan parang ialah teknologi pembuatan parang tradisional yang berat pada bahagian mata, bukan pada hulu," jelasnya.

Pelbagai produk

Sementara itu, produk utama kilang besi milik Chin di Bidor ialah menghasilkan bilah pisau pemotong sawit dan mata pisau kegunaan harian.



Myparang mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara.

Namun bagi memenuhi tempahan khusus Myparang, mereka membuat bilah mata parang ‘Duku Chandung' yang menggunakan teknik sepuh bagi menghasilkan bilah mata yang kuat lagi tajam.

Chin amat gembira dengan usaha Ahmad Nadir yang berjaya menjual parang besi Bidor ke seluruh dunia dan berpuas hati dengan kemampuan semasa kilangnya.

Menurut Chin, dahulu mereka menghadapi kesukaran mendapatkan besi yang berkualiti maka pilihan ketika awal perniagaan ialah mencari besi spring lori lama di sekitar Perak. Kini mereka mengimport terus dari kilang pengeluar di China.

Chin menekankan bahawa pembuat besi perlu mendapatkan besi yang benar-benar bermutu untuk menghasilkan parang yang berkualiti tinggi, selain bergantung kepada kemahiran tukang.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Parang, Pasaran dunia, Besi Bidor

Artikel Lain