suria

Diabetes buka jalan Amri Rahim lakukan perubahan drastik, ‘hilang’ 40kg dalam 8 bulan! - “Saya dah puas berseronok”

Dua tahun lalu, berat badan Amri Rahim mencecah 120 kilogram dan disahkan menghidap diabetes namun kini segalanya sudah berubah. Foto Instagram @amrirahim

PADA saat Amri Rahim melepasi garisan penamat ketika menyertai acara Marathon Antarabangsa Melbourne, Australia pada Oktober tahun lalu, dia menitiskan air mata.

Air mata yang gugur itu bukan sahaja kegembiraan kerana berjaya menamatkan larian 42 kilometer tetapi bangga berjaya mengubah hidupnya.

Dua tahun lalu, Amri disahkan menghidap diabetes. Dengan berat badan 120 kilogram, doktor memberi amaran jika dia tidak mengubah gaya hidupnya dengan kadar segera, Amri berisiko untuk menghadapi pelbagai komplikasi penyakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua rakan ‘sekepala’ pertahan prinsip, gah cipta nama sebagai personaliti media sosial - “Kami mahu buat orang ketawa”

Kata-kata itu memberi tamparan hebat kepada Amri untuk mengubah keseluruhan hidupnya.

"Jujurnya saya memang tak pentingkan tentang kesihatan dan tidak pernah tahu mengenai kadar gula dalam darah yang sihat. Pada awalnya saya berjumpa doktor kerana demam selesema dan memberitahu doktor saya sering berasa haus dan tidak dapat tidur dengan cukup.

Pada usia 40 tahun, Amri disahkan menghidap diabetes dan doktor memberi amaran agar dia mengubah gaya hidupnya. 

"Doktor kemudiannya melakukan ujian darah dan keesokan harinya, saya dapat panggilan untuk ke hospital," katanya kepada The Star.

Gula tinggi ingat bukan perkara serius

Amri memberitahu kandungan gula dalam darahnya pada paras 30mmol/L dan menyangka ia bukan perkara serius namun terkejut apabila doktor memaklumkan bacaan normal adalah sekitar 5mmol/L/.

"Saya memang terkejut dan apabila mengetahui tentang masalah kesihatan yang mungkin saya hadapi disebabkan gula dalam darah tinggi, ia amat menakutkan saya.

"Saya kesal dan kecewa kerana perkara itu berlaku semuanya kerana kesalahan sendiri... tiada orang lain boleh disalahkan melainkan diri sendiri," ujarnya.

Ketika itu juga kata Amri yang juga seorang konsultan perhubungan awam, 43, sedar hanya dirinya sahaja yang boleh membantunya keluar daripada situasi itu.

Aktiviti berlari kini menjadi rutin harian Amri.

Dia mengambil keputusan untuk bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat dan paling penting menjalani gaya hidup sihat.

"Saya sudah puas berseronok sepanjang 40 tahun kehidupan saya dan ini adalah masanya untuk menjadi lebih baik," katanya.

Amri dimasukkan ke hospital selama lima hari pada 2017 bagi membolehkan doktor merawatnya untuk menurunkan kembali kadar gula dalam darah ke paras normal.

Titik kesedaran buat Amri

Sepanjang tempoh itu juga dia diajar menggunakan suntikan insulin selain mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan mengenai diet dan tabiat pemakanan yang sihat.

"Ia adalah titik kesedaran buat saya. Pada hari saya dibenarkan keluar dari hospital, saya pergi berjalan selama 30 minit di kawasan rumah saya. Saya cukup bersungguh-sungguh untuk memulakan kehidupan baru.

Amri kini lebih berkeyakinan dengan dirinya. 

"Ia juga adalah kali pertama saya bersenam dalam tempoh masa yang panjang. Barangkali senaman yang sering saya lakukan adalah berjalan dalam pusat beli belah," ujarnya.

Pada awalnya kata Amri, berjalan kaki adalah satu-satunya senaman dia mampu lakukan ketika itu. Dia perlu mengurangkan berat badan sebelum mampu melakukan rutin lebih berat.

Amri juga mengubah tabiat pemakanannya dan ia membuahkan hasil apabila berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 40 kilogram dalam tempoh lapan bulan.

"Doktor pun terkejut dengan perubahan saya. Saya begitu bersungguh-sungguh untuk lebih sihat. Kini berat badan saya sekitar 70 kilogram dan saya gembira dengan pencapaian ini.

"Saya makan terlalu banyak sebelum ini. Ia bukan mudah untuk mengawalnya... Saya sukakan makanan terutamanya yang dimasak oleh ibu.

Dahulu dan sekarang... Amri mengakui proses dilaluinya bukan mudah. 

"Adakalanya saya masih makan makanan kegemaran saya tapi saya ambil dalam kuantiti sedikit. Daripada tiga pinggan nasi, saya hanya makan sedikit sahaja. Dulu setiap hari saya minum air bergas, Alhamdulillah sudah dua tahun saya tidak menyentuh minuman itu," ceritanya.

Diabetes rahmat buat Amri

Disahkan menghidap diabetes kata Amri adalah perkara terbaik yang pernah berlaku pada dirinya kerana ia telah mengubah kehidupannya kepada lebih baik kini.

Menyifatkan ia sebagai rahmat dalam kesedihan, Amri memberitahu dia berasa lebih sihat berbanding sepanjang 43 tahun kehidupannya dan tanpa diabetes mungkin gaya hidupnya tidak akan berubah.

"Jujurnya, rakan-rakan pernah cuba mengajak saya sertai mereka bersenam di gim tetapi saya selalu menolak. Sebenarnya saya berasa malu untuk ke gim kerana berat badan saya.

"Saya malu untuk dilihat ketika bersenam. Malah saya merasakan tidak banyak dapat saya lakukan untuk mengubah fizikal saya. Diagnosis ini adalah pemicu kepada perubahan yang saya perlukan," katanya lagi.

Amri mahu menjadi perangsang kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan sihat.

Selain gemar berlari, Amri turut melakukan aktiviti berbasikal dan senaman berat. Kini Amri akan berasa resah jika dia tidak dapat bersenam.

Bagaimanapun berlari menjadi minat utamanya. Ketika menyertai larian di Melbourne ia adalah acara marathon penuh pertamanya dan bukan terakhir.

Kejayaan menamatkan larian itu kata Amri membuatkan dia terkenangkan perjuangannya dalam melakukan transformasi.

"Saya tidak malu kerana menangis. Sesiapa yang pernah menyertai marathon akan bersetuju ia adalah pencapaian besar. Bagi saya pula, daripada seorang obesiti dan berjaya menamatkan larian, ia pencapaian yang tak saya duga. Tetapi ia buat saya bangga.

"Dua tahun adalah masa terlalu singkat untuk menyertai marathon memandangkan saya berbadan besar dan tidak pernah suka berlari. Malah ketika di bangku sekolah, saya cukup benci larian 100 meter tetapi sekarang semuanya sudah berubah.

Berat badan Amri kini hanya 70 kilogram.

"Namun ia tidak berlaku dalam tempoh sehari sebaliknya saya mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk menamatkan lima kilometer pertama saya. Kemudian baru saya cuba 10 kilometer, 12 kilometer dan seterusnya marathon tahun lalu," jelasnya.

Permulaan baharu buat Amri!

Keluarga dan rakan-rakan kata Amri cukup teruja dengan perubahannya dan lega apabila dia mula menjaga kesihatannya malah ia turut mendapat perhatian daripada pengikutnya di media sosial.

"Saya mahu menjadi perangsang kepada orang lain untuk lebih kreatif dan sihat. Mungkin saya akan mulakan dengan sekumpulan rakan dan menggalakkan mereka untuk bersenam walaupun hanya berjalan.

"Pada akhirnya semua bergantung kepada diri sendiri sama ada mahu berubah atau pun tidak. Tiada siapa boleh mengubah anda jika diri sendiri tidak memulakan langkah. Nasihat saya biar bermula perlahan, tapi lakukan hari ini juga. Ia tidak perlu larian marathon atau acara besar, cukup sekadar bersenam dan lakukan secara konsisten," katanya.

Artikel Lain