suria

Jangan kedekut tukar ‘screen protector’ retak... Bahaya menanti jika serpihan kaca termasuk jari!

Kaca halus daripada LCD yang pecah boleh membahayakan kesihatan.

PELINDUNG skrin atau screen protector merupakan antara aksesori penting bagi melindungi skrin telefon bimbit daripada rosak.

Malah sekiranya ia terjatuh, bahagian papan hablur cecair (liquid crystal display, LCD) akan terselamat daripada pecah dengan adanya pelindung skrin.

Pelindung skrin jenis tempered glass merupakan antara yang popular dan menjadi pilihan ramai.

Namun sering kita lihat ramai yang tidak menggantikan pelindung skrin jenis itu walaupun ia sudah pecah dalam tempoh yang lama.

Tahukah anda terdapat bahaya yang boleh mengancam diri sekiranya kita terus menggunakan pelindung skrin yang sudah retak dan pecah?

Keretakan pada skrin biasa berlaku pada telefon pintar yang digunakan secara kerap.

Baru-baru ini seorang pengguna di Facebook berkongsi kisah tragis yang terjadi kepada seorang pekerja arwah bapanya yang bekerja di sebuah kedai membaiki telefon.

Menurut cerita Putera Nur Muhammad Raihan, secara tidak sengaja kaca halus memasuki bahagian luka pekerja berkenaan ketika dia membaiki bahagian LCD pelanggannya.

Selepas tiga bulan kejadian, bahagian lengan lelaki malang itu terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.

Bahaya tentang serpihan kaca halus daripada pelindung skrin itu turut dialami seorang lagi individu.

Kata lelaki berkenaan, jarinya mengalami luka hingga bernanah selain diserang demam selama dua hari akibat daripada kejadian itu.

Susulan itu dia segera mendapatkan rawatan di hospital.

Daripada pengalaman mereka, dapat dipelajari bahawa kita tidak boleh terus menggunakan pelindung skrin jenis tempered glass yang sudah retak dan pecah.

Ia perlu digantikan dengan pelindung skrin yang baharu dan ia perlu dikendalikan dengan cermat dan berhati-hati.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain