suria

Muliakan orang susah, lelaki nasihat isteri jangan sedekah lebihan makan - “Mereka tempat kita cuci harta, bukan peti sejuk”

Berkongsi rezeki merupakan amalan mulia yang digalakkan dalam Islam. -Gambar hiasan

BERSEDEKAH adalah satu amalan yang mulia serta digalakkan dalam Islam.

Namun apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah ramai yang bersedekah selepas sesuatu barang atau makanan itu sudah tidak dikehendaki lagi.

Ia jelas sekali bertentangan dengan adab berkongsi rezeki atau bersedekah iaitu memberikan sesuatu yang masih baharu dan tidak rosak.

Begitulah yang cuba diterapkan seorang pengguna Facebook, Nizam Mohamed mengenai cara pemberian sedekah.

"Saya selalu beritahu isteri, kalau nak beri makanan kepada orang susah... jangan beri makanan lebihan, tak habis, sudah simpan dalam peti, hampir rosak, rasa sudah lari serta yang kita sendiri pun tak lalu nak makan.

Memberi bantuan kepada golongan susah merupakan amalan yang dimuliakan Allah.

"Kalau nak bersedekah, beri semasa masih baharu. Yang kita sendiri nak makan masa tu. Yang masih rasa sedap. Yang tak ada kekurangan kualiti. Makanan yang terbaik yang kita ada," ujarnya.

Tambah Nizam, perkongsiannya bukan bertujuan untuk mempertikai niat baik si pemberi tetapi mahu menyedarkan orang ramai mengenai konsep sebenar sedekah agar kita boleh melahirkan kegembiraan serta syukur kepada penerima.

"Bukan apa, kalau kita tak biasakan benda ni. Kita akan jadi tabiat. Nak beri makanan lebihan kepada mereka. Kita beri yang 'second class' (kelas kedua) kerana mereka kita anggap second class.

"Sesuatu yang patut fikir ramai-ramai dalam 'membantu'. Muliakan orang susah. Mereka adalah tempat kita mencuci harta bukan tempat kita mencuci peti sejuk kita," jelasnya.

Sekadar peringatan bersama, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah membincangkan tentang isu ini secara panjang lebar.

Katanya sebagai seorang Muslim, kita perlulah memerhati terlebih dahulu barang yang ingin disedekahkan agar ianya masih elok dan boleh digunakan lagi.

"Hukum asal mendermakan sesuatu barangan adalah sunat dan digalakkan dalam agama.

"Namun begitu, sekiranya sesuatu barang yang ingin didermakan itu diyakini rosak dan boleh mendatang kemudaratan kepada penerima seperti memberi nasi yang telah basi dan seumpamanya, maka hukumnya adalah haram dan dilarang," demikian menurutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube