suria

Ini 5 nutrien baik untuk kesihatan otak! Mampu elak demensia, masalah cepat lupa jika ambil secukupnya

Amalan pengambilan makanan sihat dapat membantu mengatasi masalah dementia. -Gambar hiasan The Star

AMALAN pengambilan makanan sihat jelas sekali memberi banyak faedah sama ada kepada fizikal mahupun mental.

Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis nutrien yang perlu diambil dalam kuantiti tertentu bagi membantu mengekalkan fungsi kognitif pada otak.

Kajian telah menunjukkan nutrien khusus yang memainkan peranan besar dalam menyokong kesihatan otak dan kognisi dapat diperoleh melalui bahan harian dan bukanlah makanan tambahan (suplement).

1. Magnesium

Nutrien ini memainkan peranan penting dalam banyak proses fisiologi, termasuk fungsi otak.

Calon PhD di Kolej Kesihatan dan Perubatan Universiti Nasional Australia, Khawlah Alateeq berkata, penyelidikan telah menunjukkan bahawa pengambilan magnesium yang rendah mungkin dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami demensia.

Kajian yang melibatkan 6,000 orang dewasa sihat secara kognitif berumur antara 40 dan 73 tahun itu mendapati, mereka yang mengambil lebih daripada 550 miligram magnesium setiap hari menunjukkan usia otak sekitar setahun lebih muda pada masa mereka 55 tahun berbanding dengan seseorang yang mempunyai purata magnesium 350 miligram sehari.

Kalsium terdapat banyak dalam bijirin. -Gambar hiasan

Kalsium terdapat banyak dalam bijirin. -Gambar hiasan

2. Potasium dan kalsium

Nutrien lain yang mempunyai sifat melindungi otak yang serupa termasuk kalium dan kalsium.

Kalsium penting untuk tulang dan gigi yang sihat, tetapi ia juga memainkan peranan dalam fungsi otot dan penghantaran saraf.

Potasium yang merupakan elektrolit mengawal keseimbangan cecair dalam badan memainkan peranan penting dalam fungsi saraf dan otot.

3. Vitamin D

Kerjasama antara Universiti Exeter Britain dan Universiti Calgary di Kanada mendapati hubungan positif antara penggunaan vitamin D dan pencegahan demensia.

Menurut Zahinoor Ismail dari Institut Kesihatan Awam O'Brien di Universiti Calgary, kekurangan vitamin D dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia malah mereka yang mempunyai kekurangan genetik dalam vitamin D lebih berkemungkinan menghidap alzheimer.

4. Vitamin B

Beberapa kajian mencadangkan bahawa vitamin B dan lapan variannya iaitu B1, B2, B3, B5, B6, B7, B9 dan B12, mempunyai ciri-ciri pelindung saraf yang penting.

Satu kajian mendapati bahawa vitamin B12 (cobalamin) boleh membantu menurunkan tahap asid amino dalam darah yang dipanggil homocysteine, yang telah dikaitkan dengan kesan negatif pada otak, termasuk penyakit Alzheimer.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain