suria

Diet karnivor boleh turunkan berat badan? Sebelum cuba ambil tahu dulu manfaat dan kesan sampingannya

Menu utama dalam diet karnivor adalah daging. -Foto Freepik

MUNGKIN ada sesetengah individu lebih gemar memakan daging berbanding sayur-sayuran dan tahu tentang kaedah diet karnivor. Apakah itu diet karnivor?

Seperti namanya, diet karnivor hanya melibatkan daging sebagai makanan utama. Diet ini didakwa dapat membantu anda menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, diet karnivor menjadi kontroversi kerana ia menghilangkan menu makanan utama yang lain. Jom fahami serba ringkas mengenai diet jenis ini.

Apakah diet karnivor?

Diet karnivor adalah diet yang bergantung sepenuhnya kepada daging dan produk haiwan sebagai menu utama. Diet ini sangat ketat dan mungkin tidak sihat untuk jangka masa panjang.

Ini kerana diet karnivor menghilangkan semua kategori makanan kecuali daging dan produk haiwan. Oleh itu, anda akan kekurangan banyak nutrien seperti serat, sarat dengan garam dan lemak, dan sukar untuk bertahan dalam jangka panjang.

sayur

Diet karnivor menghilangkan semua kategori makanan termasuk berasaskan tumbuhan kecuali daging dan produk haiwan.

Shawn Baker, seorang doktor ortopedik Amerika, adalah salah seorang ahli diet karnivor yang paling terkenal. Menurutnya, diet karnivor boleh merawat kemurungan, keresahan, arthritis, obesiti, diabetes, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, tiada kajian yang telah menganalisis kesan diet karnivor.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalaulah anda tahu 5 bahaya tidur semula selepas sahur ini, pasti tak mahu buat lagi!

Bagaimana untuk mengikuti diet karnivor?

Mengikuti diet ini, bermakna anda menyingkirkan semua makanan berasaskan tumbuhan dan hanya makan daging, ikan, telur, dan sejumlah kecil produk tenusu rendah laktosa.

Diet karnivor juga tidak menggalakkan seseorang meminum teh, kopi dan minuman lain yang diperbuat daripada tumbuhan.

Bolehkah diet karnivor menurunkan berat badan?

Aspek tertentu diet karnivor boleh menyebabkan penurunan berat badan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa diet tinggi protein dan rendah karbohidrat boleh menggalakkan penurunan berat badan.

Ini kebanyakannya kerana protein boleh membantu anda berasa lebih kenyang selepas makan, yang membawa kepada pengurangan pengambilan kalori dan penurunan berat badan.

Protein juga boleh meningkatkan kadar metabolisme badan yang membantu anda membakar lebih banyak kalori.

Oleh itu, mengikuti diet karnivor mungkin akan membuatkan anda berasa lebih kenyang dan makan lebih sedikit kalori secara keseluruhan, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

sembelit

Diet ini tidak menyediakan serat yang menggalakkan kesihatan usus sekaligus cenderung untuk menyebabkan sembelit. Foto: Freepik

Manfaat diet karnivor

Oleh kerana diet karnivor tidak termasuk karbohidrat, ia mengehadkan karbohidrat dan kandungan gula serta sering disyorkan untuk mengawal diabetes.

Kesan sampingan

Diet karnivor tinggi lemak dan mungkin mengandungi jumlah natrium yang berlebihan. Ia tidak mengandungi serat atau sebatian tumbuhan yang bermanfaat.

Memandangkan diet karnivor hanya terdiri daripada makanan berasaskan haiwan, ada kemungkinan diet ini tinggi lemak tepu dan kolesterol yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Di samping itu, diet ini tidak menyediakan serat yang menggalakkan kesihatan usus sekaligus cenderung untuk menyebabkan sembelit. Serat hanya terdapat dalam makanan berasaskan tumbuhan.

Setelah memahami apa itu diet karnivor, adakah anda masih berminat untuk mencubanya? Tepuk dada, tanyalah yang lebih pakar. - Wolipop

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain