suria

Kerap buat seks boleh kurangkan risiko kanser prostat... Doktor pun setuju poligami salah satu cara ejakulasi, tapi ada juga kaedah lain

Poligami dikatakan boleh kurangkan risiko kanser prostat. -Gambar hiasan

BARU-BARU ini tular di laman Twitter mengenai kenyataan kontroversi seorang pengamal perubatan wanita yang menyentuh soal poligami.

Dalam satu potongan video pendek yang diambil daripada TikTok, wanita itu menasihatkan isteri pertama agar mengizinkan poligami jika si suami mampu kerana ia boleh mengurangkan kebarangkalian kaum Adam mendapat kanser prostat.

Wanita itu menjelaskan kekerapan hubungan kelamin boleh mengawal kandungan hormon lelaki yang menyumbang kepada pembentukan kanser prostat.

Perkongsian yang tular di laman Twitter.

Justeru katanya, jika seseorang isteri itu tidak berdaya melayani suaminya, maka dia harus membenarkan poligami dalam rumah tangganya.

Bagaimanapun wanita terbabit dikecam hebat oleh warga maya dan rata-rata netizen menolak mentah-mentah perkongsiannya.

Bagi mendapatkan penerangan yang lebih menyeluruh mengenai kanser prostat, mStar menghubungi Dr Muhamad Hazwan Nazri atau lebih senang disapa sebagai Dr Wan di media sosial.

Pertama sekali, ayuh kita lihat dengan lebih terperinci apa itu kanser prostat.

prostat 4

Prostat merupakan sebahagian daripada sistem reproduksi lelaki. (Gambar hiasan, Freepik)

"Prostat ini adalah organ yang ada pada lelaki, salah satu fungsinya bertujuan untuk penghasilan air mani, sebahagian daripada sistem reproduksi lelaki.

"Kanser prostat selalunya melibatkan warga emas, lelaki yang berumur 60 tahun ke atas, paling kerap terjadi kepada mereka yang berumur antara 65 hingga 66 tahun.

"Mengapa lelaki warga emas yang kerap kena kanser prostat? Sebabnya kandungan hormon Dihydrotestosterone dalam badan mereka semakin meningkat dengan usia.

"Hormon ini penyebab utama kepada kanser prostat, ia menyebabkan sel-sel prostat gagal berfungsi dan dikawal, sehingga ia membesar, outgrowth, out of control dan akhirnya menjadi kanser," terang Dr Wan.

Pengeluaran air mani yang kerap boleh mengurangkan risiko kanser prostat. (Gambar hiasan, Freepik)

Menyentuh mengenai soal poligami boleh membantu mencegah kanser prostat, Dr Wan mengatakan ada kebenaran di sebalik kenyataan itu.

"Kita kena tahu dulu apakah punca yang selalu menyumbang kepada kanser prostat. Antaranya ialah genetik, merokok, makanan tinggi lemak, kurang fiber iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Seterusnya ialah makan daging merah dan gaya hidup yang tidak aktif atau sihat. Selain itu, ini perkara yang ramai selalu bincangkan, pengeluaran air mani.

"Ini betul, memang ada kajian di Harvard University dan Australia yang menunjukkan kalau kita kurang mengeluarkan air mani, ia meningkatkan risiko kita mendapat kanser prostat.

"Jadi betul, poligami in a way boleh membantu sebab kita lebih kerap bersama wanita, kerap keluarkan air mani, ia mengurangkan hormon Dihydrotestosterone dan mengaktifkan sel-sel di prostat," ujar Dr Wan.

prostat 6

Hubungan intim yang kerap dengan seorang pasangan juga sudah mencukupi, poligami tidak menjadi kewajipan. (Gambar hiasan, Freepik)

Namun begitu, Dr Wan memberitahu poligami bukanlah satu-satunya cara untuk mencegah kanser prostat.

"Tak semestinya poligami sahaja, jika kita ada seorang isteri dan kerap bersama, benefit dia tetap sama untuk mengurangkan risiko kanser prostat.

"Selain bersama dengan pasangan untuk mengeluarkan air mani, cara lain juga adalah dengan beronani. Tetapi cara ini tidak digalakkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

"Kebaikan beronani mungkin boleh mengurangkan risiko kanser prostat tetapi keburukannya banyak tak terhingga. Lemah syahwat, masalah rumah tangga, jangkitan pada saluran air kencing dan semestinya dalam Islam, benda ini berdosa.

"Onani juga boleh menyebabkan kita hilang semangat dan keyakinan diri serta daya ingatan melemah. Oleh itu, saya tak galakkan beronani kalau nak mengurangkan risiko kanser prostat," kata Dr Wan.

Beronani tidak digalakkan kerana boleh merosakkan hubungan dengan pasangan. (Gambar hiasan, Freepik)

Menurut Dr Wan, perkara utama yang boleh dilakukan untuk melawan kanser prostat adalah melalui ujian saringan awal.

"Apa yang saya boleh nasihatkan adalah pergi buat screening untuk dapatkan berita awal. Lagi-lagi kalau bapa ada kanser, chances lagi tinggi, jadi anak lelaki apabila dah berumur 25 tahun ke atas pergi buat screening.

"Kita buat screening yang khas untuk kanser prostat dinamakan sebagai ujian PSA, iaitu Prostate-Specific Antigen (PSA) Test, ia memberikan rough idea kepada doktor jika kita mungkin ada kanser prostat.

"Kalau kita buat screening awal, dapat tahu awal, kita dapat cegah awal sebelum terlambat," kata Dr Wan memberikan peringatan.

Selain mengeluarkan air mani, pencegahan terbaik untuk kanser prostat adalah melalui ujian saringan awal. (Gambar hiasan, Freepik)

Dr Wan mengatakan selain daripada ujian saringan, langkah-langkah ini juga boleh diambil untuk mengurangkan risiko kanser prostat.

"Macam tadi kita dah kupas tentang punca-punca kanser prostat, jadi sekarang kita buat yang berlawanan.

"Aktifkan diri untuk bersenam, elakkan makanan yang tinggi dengan lemak binatang, kurangkan merokok dan kalau boleh berhenti terus.

"Dari segi supplement, kita boleh amalkan makan biji labu, Magneisum, Vitamin B Complex dan yang paling penting adalah herba Saw Palmetto," ujar Dr Wan menoktahkan bicara.

Untuk rekod Dr Wan merupakan pengamal perubatan yang banyak berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi menerusi platform media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain