suria

Ketahui gejala anda ada masalah kolestrol, tekanan darah dan kandungan gula tinggi... bahaya jika dibiarkan!

Jangan ambil ringan dengan perubahan yang berlaku pada diri dan segera berjumpa doktor.

TIGA masalah kesihatan berbahaya iaitu kolesterol tinggi, diabetes dan hipertensi sudah menjadi penyakit 'biasa' dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Data daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019 menunjukkan 8.1 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia mempunyai risiko untuk mendapat ketiga-tiga masalah kesihatan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama tapi tak serupa... Ada beza flu dan selesema, boleh maut jika tak rawat dengan betul

Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMVC), Dr Lim Soo Jin berkata, tiga penyakit ini sering berlaku akibat daripada pemakanan tidak sihat dan gaya hidup sedentari.

Dr Lim berkata individu yang mempunyai keluarga dengan sejarah penyakit ini akan lebih cenderung untuk menghidap penyakit sama.

Dr Lim Soo Jin

Dr Lim Soo Jin menjelaskan gaya hidup antara punca utama seseorang mendapat penyakit.

“Tiga perkara ini sering dialami oleh pesakit yang berusia 40 tahun ke atas, namun begitu, rutin gaya hidup yang tidak sihat boleh menyebabkan mereka didiagnosis pada usia yang lebih muda.

"Ketiga-tiga perkara ini juga boleh menjadi penyumbang utama kepada penyakit strok, penyakit jantung iskemik dan masalah buah pinggang kronik, di mana ia juga akan membawa kepada masalah kesihatan yang lain jika diambil ringan," katanya.

Orang ramai katanya perlu tahu bahawa simptom kepada tiga masalah kesihatan ini sering dianggap tidak serius dan pemeriksaan kesihatan berkala untuk memeriksa bacaan tekanan darah, gula dalam darah serta kolesterol sangat penting.

Apakah simptom yang perlu diketahui bagi mengenali ketiga-tiga penyakit ini?

Hipertensi

Bacaan tekanan darah yang tidak normal boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit tanpa disedari.

1. Tekanan darah tinggi - Pening kepala, masalah penglihatan, sakit dada serta sukar untuk bernafas.

2. Kolesterol tinggi - Keadaan mata Xanthelasma (ketulan berlemak di bawah kulit berwarna putih kekuningan) atau Arcu Senilis (lengkokan berwarna putih, kelabu atau kebiruan yang jelas kelihatan di bahagian luar kornea mata).

3. Diabetes - Kerap berasa dahaga, kerap membuang air kecil, lesu, loya, muntah-muntah serta mengalami kesukaran bernafas dan sakit perut.

Xanthelasma on the skin of the eyelids

Ketulan berlemak di bawah kulit berwarna putih kekuningan petanda kolesterol tinggi.

Tanpa rawatan boleh jejaskan jantung dan otak

Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, simptom ini boleh membawa kepada penyakit mengancam nyawa seperti Sindrom Koronari Akut (ACS) di mana berlakunya pengurangan saluran darah ke jantung secara mendadak.

Keadaan ini boleh mengakibatkan kondisi serangan jantung seperti Acute Myocardial infarction, Acute Subendocardial Myocardial Infarction dan angina yang tidak stabil.

Pakar Jantung dan Perunding Kesihatan di SMCV, Dr Tee Chee Hian menerangkan bahawa keadaan ini boleh dikenalpasti melalui simptom seperti sakit dada, kekurangan daya toleransi, mudah berasa penat, pening kepala, situasi hampir pengsan dan rasa berdebar tanpa sebab.

"Sekiranya tiga perkara ini tidak dikawal dengan sebaiknya, ia akan menyebabkan penyumbatan pada arteri koronari dan mengurangkan aliran darah ke otot jantung.

Dr Tee Chee Hian

Dr Tee Chee Tian memberitahu jika dibiarkan penyakit ini boleh mengancam kesihatan jantung.

"Bagi kes yang lebih serius, pesakit boleh tidak sedarkan diri (ketika jantung berhenti mengepam) dan memerlukan rawatan perubatan dengan segera," ujarnya.

Sementara itu, Pakar Neurologi dan Perunding Perubatan SMVC, Dr Kok Chin Yong pula memberitahu tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan berlakunya perubahan serta pembentukan semula dinding saluran darah yang tidak normal, seterusnya membawa kepada aliran darah yang terjejas kepada struktur otak yang lebih dalam.

Selain itu, kandungan gula dalam darah yang tidak normal juga mampu mengakibatkan kerosakan di struktur yang sama sehingga boleh menyebabkan masalah kekeliruan, masalah pergerakan yang tidak normal dan juga sawan.

Jelas Dr Kok, bukan semua masalah tekanan darah mampu membawa kepada hipertensi, tetapi ia adalah tanda amaran yang tidak boleh diendahkan begitu sahaja.

Dr Kok Chin Yong

Dr Kok Chin Yong menekankan tentang diagnosis awal dapat mengelak daripada kemungkinan lain.

"Diagnosis awal adalah penting dengan memastikan ketiga-tiga penyakit ini dikawal, pesakit dapat mengelakkan diri daripada kemungkinan untuk mendapat strok dan demensia melalui cara menghindari kemerosotan kedua-dua sel otak dan saluran darah dalam otak," katanya.

Langkah proaktif demi kesihatan lebih baik

Dalam perkembangan sama, Dr Lim memberitahu Malaysia mempunyai fasiliti perubatan terbaik dan sebagai individu bertanggungjawab mereka perlu mengambil inisiatif untuk menggunakan kemudahan ini dan menjaga kesihatan.

Manakala Dr Tee pula menekankan diet yang seimbang dan rutin senaman dapat membantu mengurangkan risiko tiga penyakit berbahaya ini.

"Diet yang kaya dengan sayur-sauran dan buah-buahan serta mengurangkan pengambilan makanan proses sangat disarankan. Bersenam secara tetap juga adalah cara mengawal tiga penyakit berbahaya ini.

A happy family having fun in the garden

Amalkan gaya hidup sihat dan bersenam.

"Tidak hanya itu, tabiat merokok juga perlu dihentikan sebagai salah satu usaha mengurangkan risiko menghidap penyakit Sindrom Koronari Akut," ujarnya.

Dr Kok pula berpesan agar jangan mengabaikan sebarang perubahan dialami oleh badan kerana sebarang gejala kecil atau pun besar ia boleh memberi impak kepada kesihatan.

"Jangan ambil ringan terhadap simptom yang anda alami kerana tekanan darah tinggi, diabetes merupakan faktor utama kepada penyakit lebih berbahaya seperti strok dan hipertensi sendiri dianggap sebagai pembunuh senyap," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain