suria

Awas ibu bapa, anak gemuk beri kesan psikologi dan pelajaran... Kawal pemakanan kanak-kanak, bantu cegah obesiti

Obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan obesiti sebagai penyakit kronik dan epidemik namun masih ramai tidak mengambil serius tentang masalah itu.

Maka tidak hairan, obesiti merupakan salah satu cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia, mencatatkan kadar prevalen tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama tapi tak serupa... Ada beza flu dan selesema, boleh maut jika tak rawat dengan betul

Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati 50.1 peratus populasi dewasa di Malaysia dilaporkan mengalami berat badan berlebihan iaitu 30.4 peratus atau obes (19.7 peratus).

Obesiti juga dikaitkan dengan lebih daripada 200 penyakit kronik lain termasuk kardiovaskular, diabetes, muskuloskeletal dan barah serta meningkatkan risiko diabetes jenis dua sebanyak tujuh kali ganda untuk lelaki dan 12 kali ganda untuk perempuan.

Pandemik Covid-19 juga menunjukkan bahawa mereka yang mengalami obesiti mempunyai 240 peratus peningkatan risiko menghadapi jangkitan wabak itu yang lebih parah.

ae4408b36127326f-1024x684

29.8 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 17 mengalami berat badan berlebihan (15.0 peratus) atau obes (14.8 peratus).

Obesiti bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu dan komuniti malah turut mengakibatkan implikasi yang meluas kepada sistem kesihatan dan ekonomi.

Pada 2017, kos berat badan berlebihan dan obesiti mencecah 13.3 peratus daripada jumlah kos kesihatan dan 0.54 peratus daripada KDNK Malaysia atau 1.7 bilion dolar Amerika.

Ini tidak termasuk kos berkaitan dengan pengurangan produktiviti, kehilangan upaya dan ketidakhadiran ke tempat kerja.

Profesor Perubatan dan Perunding Endoktrinologi Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani berkata, apa yang lebih membimbangkan prevalen obesiti kanak-kanak turut meningkat di Malaysia, dengan 29.8 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 17 mengalami berat badan berlebihan (15.0 peratus) atau obes (14.8 peratus).

Keadaan ini kata Dr Rohana memberikan kesan yang meluas kepada kanak-kanak, komuniti di sekitar mereka, serta sistem kesihatan secara umumnya disebabkan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kronik seperti kardiovaskular dan diabetes dari usia yang muda.

"Terdapat juga impak sosial dan perkembangan negatif untuk kanak-kanak yang mengalami obesiti seperti gangguan pencapaian akademik di sekolah selain keyakinan diri yang lebih rendah akibat dibuli," katanya.

kidsHealthyEater-138709754-770x533-1-650x428

Pemakanan seimbang cukup penting dalam mengatasi masalah obesiti.

Bagi menangani obesiti di Malaysia pada peringkat dasar, Dr Rohana berkata banyak langkah penting dibangunkan untuk menangani obesiti daripada segi pemakanan meskipun ia topik yang rumit untuk dibincangkan.

Ini termasuk pengenalan cukai gula pada 2019 dan membangunkan Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 pada 2021 untuk memerangi secara proaktif peningkatan masalah malnutrisi dan obesiti, serta penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan, seperti diabetes dan tekanan darah tinggi sejak usia muda.

Namun begitu, daripada segi penjagaan dan pengurusan individu yang mengalami obesiti, banyak kerumitan sudut kesihatan yang masih perlu ditangani selanjutnya.

"Pengurusan klinikal obesiti di Malaysia tidak mencukupi untuk menangani pelbagai aspek obesiti. Apabila individu yang mengalami obesiti mengambil langkah untuk mendapatkan rawatan, mereka diberikan terapi kitaran empat-langkah yang merangkumi diet dan senaman, ubat, rawatan tak invasif dan pembedahan.

"Walau bagaimanapun, bilangan hospital awam yang menawarkan perkhidmatan berkaitan obesiti sedemikian adalah terhad.

"Akibatnya pesakit tidak mendapat penjagaan bersepadu yang diperlukan untuk mengurus obesiti dan terpaksa melalui titik sentuh berlainan, justeru melambatkan akses mereka kepada penjagaan yang berkesan," jelasnya.

73d8d6d589ea3665-1024x684

Perubahan perlu dilakukan segera sebelum terlambat!

Dr Rohana yang juga pengerusi Obesity Policy Engagement Network di Malaysia (MY OPEN), sebuah platform yang menyatukan pakar dalam bidang obesiti untuk memperbaiki penjagaan obesiti berkata, pengamal perubatan di peringkat primer juga tidak merawat obesiti.

Sebaliknya, mereka merawat penyakit kronik lain berkaitan obesiti, seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Ini mungkin berlaku akibat kurang pengetahuan, kekurangan pengutamaan terhadap obesiti sebagai penyakit, latihan yang tidak mencukupi dan kekangan masa serta sumber," katanya.

Bersama-sama dengan inisiatif pencegahan yang tertumpu pada pemakanan, Dr Rohana berkata pelbagai dasar juga perlu dirangka daripada segi pengurusan penyakit yang berkesan untuk mereka yang mengalami obesiti.

"Obesiti memerlukan tindakan segera dan sekarang adalah masa untuk bertindak. MY OPEN menyeru pengiktirafan meluas obesiti sebagai penyakit kronik pada peringkat kerajaan, klinikal dan awam.

"Ini akan membantu memastikan tanggungjawab untuk mengurus obesiti beralih daripada tahap individu kepada tanggungjawab bersama. Kami percaya bahawa pendekatan yang sistemik dan berterusan diperlukan untuk menangani beban obesiti yang kompleks,” tekannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain