suria

Nampak normal tapi wanita ini sering alami pengalaman ngeri saat ‘anxiety attack’

Alami penyakit anxiety hampir tiga tahun, kini Fatin tidak perlu bergantung pada ubat lagi.

ANXIETY’ satu perasaan cemas atau gelisah dianggap perkara normal yang dirasakan oleh sesetengah individu ketika berdepan berita juga situasi sehingga tercetus ketakutan dan kebimbangan.

Namun penyakit ini perlu diberi perhatian sekiranya ia muncul tanpa sebab atau sukar untuk mengawal sehingga mengganggu aktiviti seharian anda.

Itulah yang dialami Sharifah Fatin Nabila, 31 yang telah menderita penyakit kegelisahan melampau hampir tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN : Penting untuk ibu hamil dan menyusu... Ini 5 manfaat telur yang jarang anda ketahui

Lebih mesra disapa Fatin, dia menceritakan keadaan dirinya menjadi semakin teruk selepas putus dalam hubungan percintaan.

Rasa risau melampau dan takut membuatkan Fatin menderita sehingga tidak mampu dikawal.

“ Setiap hari saya menangis dan tak makan langsung sampai berat badan saya turun sebanyak 15kg dalam masa dua minggu.

“ Mungkin bagi sesetengah orang anggap perkara ni remeh, tapi sebenarnya tidak. Tidak dinafikan memang memberi kesan mendalam sampai kerjaya saya turut hancur pada ketika itu.

“ Pernah berlaku apabila keadaan bertambah teruk selepas pulang kerja, separuh badan saya tidak mampu bergerak dan dada rasa sempit sehingga susah untuk bernafas, ” kata wanita ini yang berasal dari Selangor.

Tambah Fatin, penyakit ini tidak boleh jangka bila ia akan menyerang, malah ada satu ketika insiden paling serius berlaku sehingga dia mencederakan diri sendiri.

Anxiety membuatkan Fatin takut untuk berhadapan dengan orang ramai.

“ Waktu tu pukul 3 pagi, bila saya sedar je terus menjerit sebab saya cederakan diri dengan objek tajam. Ada orang kata bila dah jadi macam ni kena dekatkan diri dengan tuhan, saya buat tapi pada satu tahap saya persoalkan semua amalan saya.

“ Saya terlalu stres, jadi saya terpaksa ambil ‘chemical medication’ yang disarankan doktor selama sembilan bulan.

“ Alhamdulillah keluarga sangat membantu, terutama abang saya dengan memberi nasihat untuk jangan terlalu bergantung pada ubat. Walaupun pada masa itu ramai juga kawan-kawan tidak percaya dan anggap penyakit saya alami hanya rekaan sahaja, ” jelas bekas pelajar Universiti Teknologi Mara ini.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Teh chamomile bantu kawal perasaan risau dan cemas melampau.

Selain mendapat sokongan penuh keluarga, Fatin juga mengamalkan teh chamomile untuk mengurangkan rasa risau dan takut ketika mengalami penyakit tersebut.

“ Waktu pandemik ni lebih senang untuk alami perasaan itu sebenarnya sebab kita hanya duduk di rumah dan aktiviti agak terhad. Bila tengah baring tiba-tiba tangan sebelah kanan menggeletar.

“ Saya terus masuk bilik air buka ‘shower’ menangis sambil gigit tangan untuk elak meraung. Saya tak nak keluarga dengar, selepas 30 hingga 40 minit baru saya dapat tenangkan diri.

Menurut Fatin, mandi antara cara untuk dirinya lebih tenang dan berasa segar. Dia juga sudah mampu untuk mengawal penyakittersebut sehingga ke hari ini tanpa bergantung kepada ubat.

Berkongsi pengalaman menghadapi penyakit ini, Fatin berharap agar individu yang mengalami masalah sama supaya tidak malu berkongsi dan segera mendapatkan nasihat pakar agar ia tidak mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Berkaitan

Artikel Lain