suria

Anak berdengkur tak normal sebenarnya! Masalah pembelajaran, hiperaktif antara kesannya... pastikan segera dirawat

Kanak-kanak yang tidur berdengkur sebenarnya tidak normal.

RAMAI beranggapan kanak-kanak yang berdengkur ketika tidur adalah disebabkan mereka mendapat tidur yang nyenyak selepas seharian bergerak aktif.

Malah ada ibu bapa merasakan situasi itu normal dan tidak merisaukan namun hakikatnya tabiat berdengkur dalam kalangan kanak-kanak adalah tidak normal.

Malah kajian turut menunjukkan masalah berdengkur terjadi kepada 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur di antara satu hingga sembilan tahun yang mampu mengganggu kelakuan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu dalam 2 rakyat Malaysia alami obesiti... Ketahui 4 petanda anda menghidap sakit jantung! - “Ia bukan lagi penyakit orang tua”

ARTIKEL BERKAITAN: Begitu kuat pengaruh rawatan alternatif, ramai enggan ke hospital... realitinya kes kanser libatkan anak muda makin meningkat!

Pakar Pediatrik Respiratori, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, masalah tersebut boleh berlaku disebabkan beberapa faktor iaitu keadaan di mana saluran pernafasan menjadi sempit ketika tidur.

"Kanak-kanak berdengkur adalah tidak normal... Jangan anggap ia perkara biasa. Ia mungkin berlaku disebabkan oleh apnea tidur yang boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada kesihatan tetapi proses tumbesarannya.



Pakar Pernafasan Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Norzila Mohamed Zainudin meminta ibu bapa tidak mengambil ringan jika anak mereka berdengkur.

"Saluran pernafasan manusia memang akan menjadi sempit ketika tidur dan itu normal selagi ia tidak mengganggu tidur. Bagaimanapun penyempitan yang ketara boleh menyebabkan apnea tidur.

"Sebab itu kanak-kanak akan mendengus, tercungap-cungap ketika tidur selain nafasnya terhenti," katanya.

Kebiasaannya kata Dr. Norzila, kanak-kanak akan terjaga daripada tidur apabila berlakunya penyempitan yang melampau menyebabkan paras oksigen mula menurun disebabkan udara tidak dapat masuk.

"Kemoreseptor atau sel-sel rangsangan mengesan penurunan tahap oksigen dalam darah badan. Ini menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas lalu kadar oksigen akan menjadi normal semula.

"Dalam sesetangah kes, ada di antara mereka akan bangun berkali-kali disebabkan penurunan kadar oksigen di dalam darah badan. Ini menyebabkan tidur kanak-kanak tersebut terganggu dan mengakibatkan mereka berasa mengantuk di waktu pagi dan tidak puas tidur," jelasnya.



Tidur kanak-kanak akan terganggu apabila kerap terjaga akibat berdengkur.

Tonsil, obesiti antara punca dengkur

Sementara itu, Dr. Norzila menjelaskan punca kanak-kanak tidur berdengkur adalah disebabkan oleh tiga perkara iaitu tonsil dan adenoid membengkak sehingga mereka sukar bernafas melalui hidung.

Masalah itu adalah punca lazim kepada tidur berdengkur selain pembentukan wajah yang kecil sejak dilahirkan akan menyebabkan saluran pernafasan mereka juga menjadi kecil.

"Biasanya pembentukan wajah yang tidak sekata dan kecil ini kita dapat lihat kanak-kanak Sindrom Down.

"Wajah mereka kecil di bahagian dagu atau maxilla menyebabakan ruang rongga pernafasan bahagian atas menjadi sempit. Oleh itu, mereaka akan berdengkur dan mengalami apnea tidur.

Obesiti juga adalah punca apnea tidur yang mana tisu lemak akan menyempitkan saluran pernafasan. Getaran pada tisu juga akan menyebabkan kanak-kanak itu berdengkur.



Berdengkur boleh memberi kesan kepada tumpuan kanak-kanak.

Hiperaktif, sukar fokus disebabkan tidur terganggu

Jelas Dr. Norzila, masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menyebabkan mereka berasa letih dan lesu akibat kerap terjaga.

"Ini menyebabkan keupayaan kognitif mereka juga akan terjejas dan boleh menyebabkan mereka lemah dalam pelajaran,"ujarnya.

"Ibu bapa harus sedar pada usia awal ini apabila kurang tidur mereka sukar memberi tumpuan dan boleh bertukar menjadi hiperkatif bagi melawan rasa mengantuk selain meragam.



Rawatan CPAP boleh digunakan bagi merawat masalah apnea tidur dalam kalangan kanak-kanak.

Dengkur boleh dirawat

Dr. Norzila menjelaskan sekiranya masalah berdengkur berlaku disebabkan oleh masalah tonsil dan adenoid yang besar, ia boleh dirawat dengan mengeluarkan tisu adenoid dan tonsil melalui pembedahan.

Pada kebiasaannya masalah apnea tidur pulih selepas pembedahan. Walaubagaimanapun, dalam kes-kes yang disebabkan oleh obesiti atau masalah abnormaliti kranial facial, pesakit memerlukan rawatan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP).

Mesin ini berfungsi dimana ia memberi tekanan positif semasa tidur. Tekanan tersebut akan membuka rongga pernafasan dan mencegah saluran pernafasan daripada menyempit atau ‘collapse’.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa harus memberi perhatian kepada anak masing-masing apabila melihat perubahan tidak normal pada anak mereka.

"Apabila tengok anak berdengkur tidak berhenti dan ia berulang-ulang, jangan anggap ia normal sebaliknya segera dapatkan pemeriksaan kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan fizikal dan mental," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain