suria

Anda kontak rapat kes Covid-19? 5 perkara ini perlu diberi perhatian

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan sekiranya ada ahli keluarga atau rakan terdekat dijangkiti Covid-19.

MELIHAT kepada penambahan angka kes Covid-19 di Malaysia yang kembali meningkat membuatkan ramai semakin cemas dan bimbang.

Namun pernahkah anda membayangkan jika orang tersayang atau rakan terdekat dijangkiti virus merbahaya itu? Lima langkah ini mungkin dapat membantu menghadapi situasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah psikologi, sesak nafas... itulah kesan jangka panjang Covid-19!

1. Persiapan diri

Sukar untuk menjangkakan diri kita akan terselamat daripada wabak itu dan persiapan diri perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang situasi mencemaskan.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut menyarankan setiap daripada kita sentiasa bersedia agar tidak panik jika ada ahli keluarga atau rakan terdekat dijangkiti Covid-19.

Ini termasuklah sentiasa mengikut semua saranan yang dikeluarkan seperti menjaga kebersihan diri agar terlindung daripada kuman.

Mencuci tangan dengan sabun, elak menyentuh bahagian wajah dengan tangan yang kotor serta menjaga jarak adalah penting bagi mengurangkan potensi terkena virus itu. Paling penting gunakan pelitup wajah setiap kali keluar rumah.

2. Menyiapkan keperluan

Jika ada orang terdekat yang positif Covid-19 atau perlu menjalani kuarantin, tanya sama ada mereka memerlukan bantuan kerana pada tahap ini pesakit tidak dapat berfikir tentang hal lain selain soal kesihatan mereka.

Antara barangan keperluan yang dapat membantu mereka termasuklah;

* Termometer untuk memantau suhu badan selain bahan pembersih, isoproply alcohol.

* Paracetamol seperti asetaminofen.

* Sarung tangan dan pelitup wajah.

* Sabun dan hand sanitizer.

* Tisu secukupnya bagi kegunaan ketika batuk dan bersin.

* Kelengkapan membersih lain seperti sarung tangan dapur, plastik sampah dan sebagainya.

3. Kuarantin segera

Jika anda pernah berhubung secara langsung atau tinggal sebumbung dengan pesakit Covid-19, segera kuarantin diri sendiri.

Pastikan anda menggunakan bilik dan tandas berasingan namun perkara ini sukar dilakukan lebih-lebih lagi jika mempunyai ramai ahli keluarga dalam rumah sama dengan ruang terhad.

Jika tinggal bersendirian, proses kuarantin tidak terlalu sukar namun kita perlu memastikan bijak menguruskan diri agar tidak timbul sebarang masalah.

4. Menjaga kebersihan

Jika sakit, pastikan guna pelitup wajah ketika berada di sekeliling orang lain malah sentiasa berpesan kepada ahli keluarga untuk melakukan perkara sama meskipun berada di rumah.

Ketika sakit (meskipun bukan Covid-19) pastikan sentiasa menjaga kebersihan serta kerap mencuci tangan serta tidak berkongsi makanan atau pinggan dengan anggota keluarga yang lain.

Sekiranya ada anggota keluarga sedang dikuarantin, pastikan guna sarung tangan ketika mencuci pinggan dan cawan yang mereka gunakan serta direndam dalam air panas.

Jika ada bahan pencuci berasaskan alkohol adalah lebih baik. Asingkan pakaian mereka sebelum dicuci dan sebaik-baiknya ia direndam berasingan dengan campuran air panas.

5. Menjaga kesihatan

Jika pesakit adalah anggota keluarga, pastikan diri dan orang lain di sekeliling anda berada dalam keadaan sihat.

Pastikan tiada siapa keluar daripada rumah kerana bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain sekiranya ada di antara mereka positif tanpa disedari memandangkan ada yang tidak menunjukkan gejala.

Untuk mengurangkan penularan virus di dalam rumah sendiri, pastikan pengedaran udara berada dalam keadaan baik dengan membuka tingkap dan pintu.

Jaga kebersihan dan makan ubat sekiranya perlu selain melakukan senaman serta mendapat tidur yang cukup.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain