suria

Jangan amal ketika terkena ulser saja, ini 5 manfaat berkumur air garam yang anda tak terduga

Berkumur dengan air garam mempunyai pelbagai manfaat.

BIASANYA kalau sakit gigi atau mulut mengalami ulser kita akan berkumur dengan air garam bagi memberikan sensasi rasa lega pada kesakitan.

Namun tahukah anda bahawa berkumur dengan air garam sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka tidur tanpa buka kanta lekap? Awas ia boleh sebabkan mata buta!

Berkumur dengan air garam boleh menciptakan kesan osmosis menerusi penyerapan garam yang menarik cairan daripada jaringan mulut bagi meredakan jangkitan yang menimbulkan rasa sakit.

1. Meredakan sakit kerongkong

Jika anda rasa sakit pada kerongkong, jangan terburu-buru berjumpa doktor sebaliknya campur air dan garam untuk berkumur (kumur sehingga ia menyentuh bahagian belakang mulut).

Ini bukan sekadar kepercayaan turun-temurun kerana ia memang mampu meredakan sakit kerongkong.

Bagaimanapun ia tidak akan serta merta membuatkan sakit anda sembuh. Ini kerana air garam tidak memiliki kandungan antivirus jika betul sakit itu disebabkan oleh virus.

Namun ia cukup meredakan rasa tidak selesa ketika menelan makanan atau minuman.

2. Mencegah radang gusi

Tidak perlu menunggu ada masalah, anda boleh mencegahnya dengan berkumur air garam. Air garam boleh membantu mencegah radang gusi.

Berkumur mampu menuetralkan asid yang disebabkan oleh kehadiran bakteria dan mampu menyeimbangkan pH mulut.

3. Mencegah jangkitan saluran pernafasan

Kajian menunjukkan berkumur air garam boleh membantu mengurangkan jangkitan bakteria mahupun virus. Cukup berkumur, anda boleh meredakan demam, selesema dan jangkitan kerongkong.

4. Membersihkan masalah saluran nafas tersumbat

Apabila demam atau selesema, saluran pernafasan boleh tersumbat. Jika berkumur dengan air garam ia boleh membantu mengikis mukus pada saluran pernafasan dan saluran hidung.

5. Menghindari masalah bau mulut

Jika rasa tidak percaya diri dengan bau mulut, anda boleh cuba berkumur air garam kerana ia mampu menuetralkan kondisi asid di mulut akibat bakteria.

Bakteria biasanya berkembang dan menyukai ruang mulut yang berasid.

Bagaimanapun ktia perlu berhati-hati dan tidak membancuh larutan air dengan meletakkan terlalu banyak garam.

Bagi segelas air, anda hanya perlu masukan setengah sudu teh garam. Terlalu banyak garam boleh membuatkan jaringan mulut dan kerongkong mengalami dehidrasi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain