Tiada ubat untuk penyakit polio, vaksin hanya mampu cegah - Famili | mStar

Tiada ubat untuk penyakit polio, vaksin hanya mampu cegah

Kanak-kanak diberi imunisasi dengan OPV, weakened vaccine-virus akan berganda dalam usus untuk tempoh tertentu dan membentuk imuniti atau kekebalan dengan meningkatkan antibodi. Gambar hiasan.

SELEPAS 27 tahun, negara kembali gempar dengan kemunculan penyakit polio.

Bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah, yang dijangkiti polio belum sempat menerima imunisasi polio yang sepatutnya dan dengan demikian tidak mendapat perlindungan daripada penyakit itu, kata Pakar Perunding Pediatrik dan Ahli Imunologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyakit mental, kesan antara sinergi rawatan Islam dan psikiatri

Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

Bagaimanapun, bayi yang dijangkiti virus polio itu hanya menerima dos pertama imunisasi polio dan menyebabkan ia tidak menerima imunisasi yang secukupnya, kata Dr Musa.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM),  bayi berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), pada Jumaat (6 Disember) lalu.

“Saya mengesyaki bayi itu dijangkiti VDPV1 daripada persekitaran melalui air atau makanan yang tercemar atau kerana sanitasi yang teruk.

Dr Musa memberitahu pemantauan akan dijalankan ke kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang mempunyai kes polio.

“Kemungkinan besar (virus) berasal dari Filipina memandangkan perkaitan genetik VDPV1 serupa dengan virus yang dikesan sewaktu berlaku wabak di negara itu, “ jelasnya kepada Bernama.

Kes polio ini merupakan yang pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayi yang dijangkiti polio itu sudah pun sakit apabila diberi dos kedua vaksin polio, yang sepatutnya memberikan kadar imunisasi antara 60 peratus hingga 80 peratus.

“Dos pertama mempunyai 30 hingga 40 peratus imuniti terhadap virus berkenaan, “ katanya.

Vaccine-Derived Polio

Vaccine-derived polio adalah berkaitan dengan penggunaan vaksin polio oral (OPV).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, OPV mengandungi weakened vaccine-virus (virus polio yang dilemahkan dalam vaksin) yang menggerakkan tindak balas imun dalam badan.

Apabila kanak-kanak diberi imunisasi dengan OPV, weakened vaccine-virus akan berganda dalam usus untuk tempoh tertentu dan membentuk imuniti atau kekebalan dengan meningkatkan antibodi.

Dalam masa ini, vaksin-virus juga dikumuh oleh badan melalui najis.

Laman sesawang WHO menjelaskan: “Di kawasan dengan sistem sanitasi yang lemah, vaksin-virus yang dikumuh oleh badan melalui najis boleh merebak dalam komuniti yang terdekat sebelum virus itu mati.

"Bagaimanapun, sekiranya penduduk tidak mendapat imunisasi yang secukupnya, vaksin-virus yang dikumuh melalui najis boleh terus merebak untuk jangka waktu yang panjang. Lagi lama virus ini dibiarkan hidup, lebih banyak perubahan genetik akan berlaku. 

"Dalam keadaan yang jarang berlaku, vaksin-virus boleh secara genetik berubah dalam bentuk yang boleh melumpuhkan - ini yang dikenali sebagai circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV).”

Sekiranya penduduk tidak mendapat imunisasi yang cukup, vaksin-virus boleh terus merebak. Gambar hiasan pesakit polio.

Sebaliknya, IPV tidak mengandungi virus hidup, dan dengan demikian, orang yang menerima vaksin ini tidak mengkumuhkan virus ini atau menjangkiti orang lain.

Vaksin ini juga tidak menyebabkan penyakit.Memandangkan risiko yang berkaitan dengan pemberian OPV, mengapa masih ada negara yang menggunakannya?

“OPV ini murah, mudah untuk diberikan dan sangat berkesan dalam melindungi individu dan komuniti, “ kata Dr Musa.

Menurut beliau, sejak 1988, pemberian OPV membantu mengurangkan beban penyakit polio sebanyak 99.9 peratus - daripada 350,000 kes kepada kurang daripada 120 kes polio liar pada 2019.

“Kelemahannya ialah virus ini dikumuh menerusi najis dan boleh hidup selama enam minggu dalam persekitaran. Virus yang sudah dilemahkan ini (live-attenuated vaccine polio) boleh bertukar dan menjangkiti anak yang tidak diberi imunisasi.

“Sejak 2000, 10 billon dos OPV digunakan di seluruh dunia, dan mencegah 13 juta kes polio. Hanya kurang daripada 750 kes VDPV dilaporkan,“ dedah beliau.

Malaysia turut melaksanakan pemberian OPV sehingga 2008, apabila negara ini mula menggunakan IPV.

“Sebahagian daripada strategi penghapusan polio adalah untuk bertukar daripada OPV kepada IPV untuk mengurangkan risiko VDPV dan vaksin yang ada kaitan dengan paralytic poliomyelitis kepada sifar,” kata Dr Musa.

Adakah kita dilindung?

Menurut Dr Musa, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada komuniti perlu menerima imunisasi mencegah polio sebagai langkah perlindungan daripada penyakit yang boleh menyebabkan kelumpuhan itu.

“IPV sebagai sebahagian daripada kombinasi suntikan lima-dalam-satu yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan adalah vaksin yang amat bagus. Selain polio, ia mencegah difteria, pertusis, kancing gigi /tetanus dan haemophilus influenza B,” katanya.

Meskipun pengambilan dos ketiga vaksin polio di Malaysia adalah dalam sekitar 95 peratus, kata Dr Musa, masih ada segelintir masyarakat yang tidak menerimanya, sama ada kerana mereka enggan atau pihak yang berkenaan gagal mencapai kumpulan itu yang termasuk golongan pendatang atau yang tidak mempunyai taraf kerakyatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata sehingga 5 Disember, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa, mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun, tidak menerima vaksin polio.

Liputan imunisasi yang tinggi amat perlu untuk lindungi kanak-kanak daripada jangkitan polio.

Beliau turut berkata, pemantauan akan dijalankan ke kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang mempunyai kes polio.

Langkah juga akan diambil untuk memastikan liputan imunisasi melebihi 95 peratus untuk semua kawasan di Malaysia pada sepanjang masa.

Untuk negeri Sabah yang paling hampir dengan Filipina, liputan imunisasi yang tinggi adalah amat perlu untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan polio, kata Dr Noor Hisham.

Pada Julai lepas, Duta Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose memberitahu sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris, terdapat 400,000 hingga 500,000 pekerja tanpa izin Filipina di Sabah.

Sementara itu, Dr Musa berkata hanya satu kes polio sudah cukup untuk dikira sebagai wabak.

“Walaupun satu kes, ianya serupa epidemik. Langkah menyeluruh perlu diambil untuk melaksanakan imunisasi dan melindungi komuniti daripada penyakit ini merebak.

“Memang tidak ada ubat untuk menyembuhkan polio tetapi ada vaksin yang berkesan dan selamat untuk mencegah penyakit ini, “ tegasnya. 

Polio , Cegah , Vaksin , Lumpuh

Artikel Sebelum

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain