suria

Jangan terburu-buru! Fikir 2 kali sebelum buat rawatan pemutihan gigi

Ubat pemutihan gigi adalah lebih selamat namun penggunaannya perlu dibuat dengan berhati-hati.

SIAPA yang tidak mahu gigi putih bersih yang memberi impak kepada penampilan anda. Jika gigi kuning 'berkarat' nak senyum pun malu.

Jalan paling mudah adalah membuat rawatan pemutihan gigi! Tapi sebelum itu, lebih baik kumpul fakta mengenai rawatan ini.

Meskipun rawatan pemutihan gigi dapat mencerahkan warna gigi, namun bukan setiap batang gigi memberi responsif yang sama terhadap proses itu kata Dr Dietmar Oesterreich yang juga Naib Presiden Persatuan Pergigian Jerman.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersenam dan hubungan seks, yang mana lebih menyihatkan?

Katanya lagi, proses itu juga tidak murah kerana kosnya di antara RM1,400 hingga RM1,900 kerana ia merupakan prosedur kosmetik dan bukannya perubatan.

Jadi jangan harap pihak insurans akan memberi perlindungan untuknya.

"Sebelum melakukan proses pemutihan gigi, pemeriksaan pergigian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan doktor mengenal pasti sama ada rawatan itu sesuai atau pun tidak," katanya.

Rawatan pemutihan gigi menjadi pilihan untuk mendapatkan hasil yang cepat. 

Contohnya kata Dr. Dietmar, sekiranya seseorang mengalami pendarahan pada gusi atau gigi, rawatan itu tidak menjamin akan memutihkan struktur keras yang tumbuh pada gusi itu.

Ini kerana katanya, pendarahan itu sebenarnya boleh menyebabkan gigi akan kelihatan lebih gelap. Pun begitu, rawatan itu masih boleh dilakukan, namun ia perlu dilakukan oleh doktor gigi berpengalaman.

Sebagai alternatif, proses pembersihan gigi antara alternatif sebelum melakukan pemutihan gigi. Ia bukan sahaja memberi kesan hampir sama malah kosnya lebih murah.

Syarat lain yang perlu diberi perhatian untuk melakukan rawatan itu termasuk gigi dan gusi yang sihat.

"Gigi dengan karies tidak dirawat, kekurangan enamel atau gigi patah tidak sesuai kerana agen peluntur dapat menembusi bahagian dalam gigi menyebabkan rasa sakit selain boleh merosakkan saraf gigi.

"Amaran kepada golongan muda yang gemar melakukan rawatan ini adalah ia meningkatkan risiko lebih tinggi kepada penyebab kerosakan saraf gigi kerana struktur gigi mereka belum matang sepenuhnya," katanya.

Selain itu, wanita mengandung atau sedang menyusu badan adalah sama sekali tidak digalakkan membuat rawatan itu.

Rawatan pemutihan gigi juga sebenarnya tidak kekal lama walaupun ada menjangkakan ia mampu bertahan selama bertahun-tahun.

"Tempohnya bergantung kepada tabiat pemakanan dan kekerapan anda memberus gigi.

Penggunaan ubat pemutihan gigi kata Dr. Dietmer adalah lebih selamat namun perlu digunakan dengan berhati-hati.

"Kebiasaannya ubat pemutihan gigi ini lebih 'kasar' daripada ubat gigi biasa selain mengandungi bahan kimia tambahan," ujarnya. - THE STAR

Gigi, Pemutihan Gigi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain