Penggunaan kad kredit kini menjadi pilihan utama ramai untuk pelbagai urusan pembelian. -Gambar hiasan AI
KAD kredit sering dianggap sebagai satu kemudahan kewangan yang memberi pelbagai manfaat kepada pengguna, terutama mereka yang berdisiplin melunaskan keseluruhan baki bulanan hingga terselamat daripada sebarang caj faedah.Bagaimanapun, pendedahan seorang pengguna Threads, berkenaan hukum sebenar penggunaan kad kredit konvensional mula mendapat perhatian ramai. Menerusi perkongsiannya, individu terbabit meluahkan rasa lega apabila berjaya membebaskan diri daripada tunggakan kad kredit sebelum menyedari penggunaan versinya yang konvensional tetap menjadi isu daripada sudut syarak."Best feeling ever, zero hutang for credit card. Baru tahu haram guna credit card non-Islamic walaupun kita bayar penuh setiap bulan," tulisnya.Perkongsian tersebut mengundang pelbagai maklum balas warga maya yang rata-ratanya mengakui pernah beranggapan hukum berkenaan hanya terpakai jika individu gagal membuat bayaran hingga dikenakan caj tambahan.Penggunaan kad kredit dapat memudahkan urusan kewangan masa kini. -Gambar hiasanMengulas isu tersebut, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hukum menggunakan kad kredit konvensional adalah haram, walaupun pemegang kad sentiasa menjelaskan keseluruhan baki penyata sebelum tarikh akhir pembayaran sehingga tidak dikenakan faedah.Menurut laman sesawang itu, larangan itu bukan sekadar berasaskan caj faedah yang timbul akibat tunggakan, sebaliknya kerana pelanggan sudah menandatangani kontrak yang mengandungi syarat riba sejak dari awal pendaftaran.Pihaknya memperincikan bahawa isu utama kad kredit konvensional terletak pada syarat penetapan faedah sekiranya tunggakan tidak dijelaskan mengikut garis masa, di mana syarat itu tergolong dalam riba nasi'ah, iaitu yang jelas diharamkan syarak.Walaupun terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan penggunaan kad kredit konvensional jika pemegang kad membayar penuh sebelum dikenakan faedah, pandangan itu disifatkan tidak sesuai diaplikasikan di Malaysia.Ini kerana negara mempunyai pelbagai institusi perbankan Islam yang menawarkan alternatif kad kredit patuh syariah seperti Bank Islam, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan RHB Islamic.Sehubungan itu, Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan bahawa penggunaan kad kredit konvensional tetap tidak diharuskan kerana pelanggan telah bersetuju dengan kontrak yang mengandungi syarat riba, meskipun mereka berazam untuk tidak pernah membayar faedah dengan menjelaskan baki penuh setiap bulan.Justeru, umat Islam yang berhasrat menggunakan kemudahan ini disarankan agar beralih kepada produk patuh syariah yang disediakan oleh institusi perbankan Islam demi mengelakkan diri daripada terlibat dalam transaksi berunsur riba.