suria

Terkesan derita rakyat Palestin, ramai mahu hulur bantuan… Bolehkah individu, syarikat korporat hulur zakat?

Ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin. -Gambar hiasan

PERGOLAKAN berterusan di Palestin telah membuka mata banyak negara dan jutaan masyarakat dunia yang menyaksikan sendiri kekejaman dilakukan rejim zionis Israel.

Selain membuka mata masyarakat antarabangsa untuk melihat punca sebenar mengapa peperangan tercetus di tanah penduduk Semenanjung Gaza, dalam masa sama ramai tampil menghulurkan bantuan.

Tidak terkecuali rakyat Malaysia, termasuklah kerajaan Persekutuan dan syarikat korporat.

Malah ada yang berhasrat untuk menyalurkan zakat kepada rakyat Palestin bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami dan mengatasi isu kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.

Mengulas mengenainya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpandangan, zakat perlulah disalurkan terlebih dahulu kepada masyarakat setempat menerusi Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Pergolakan yang berlaku memusnahkan penempatan rakyat Palestin. -Gambar Reauters

Pergolakan yang berlaku memusnahkan penempatan rakyat Palestin. -Gambar Reauters

Beliau turut menghuraikan beberapa pandangan daripada jumhur ulama sebagai panduan.

Ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah tidak membolehkan zakat dipindahkan ke negara lain yang jaraknya membolehkan untuk diqasarkan solat.

Ulama Malikiyyah juga melarang memindahkan zakat ke jarak yang melebihi jarak perjalanan yang membolehkan mengqasarkan solat, kecuali bagi mereka yang memerlukan zakat tersebut di selain negara di mana harta itu berada.

Bagaimanapun, Ulama Hanafiyyah berpendapat bahawa makruh memindahkan zakat selagi mana pemindahan tersebut bukan kerana suatu maslahah, contohnya kepada kaum kerabat.

Dalil orang yang membenarkan pemindahan zakat adalah di antaranya, perkataan 'orang miskin' dalam hadis Mu‘az bukanlah khusus untuk penduduk negara atau tempat itu sahaja, akan tetapi ia bersifat umum bagi semua orang miskin.

Ramai rakyat Malaysia menyelar tindakan kejam Israel ke atas penduduk Palestin. -Gambar hiasan Azman Ghani/The Star

Ramai rakyat Malaysia menyelar tindakan kejam Israel ke atas penduduk Palestin. -Gambar hiasan Azman Ghani/The Star

Keduanya, Nabi Muhammad SAW biasanya mengutus pemungut zakat untuk mengumpulkan zakat dari daerah-daerah terpencil ke kota Madinah, di mana zakat tersebut dibahagikan kepada orang-orang miskin di sana.

Jumhur ulama (termasuklah mereka yang tidak membenarkan pemindahan zakat) menyebut, jika seseorang tetap memindahkan zakatnya, maka itu sudah memadai (dianggap sah) dan dia telah memenuhi kewajipannya.

Hal ini juga adalah sebagaimana dinukilkan oleh al-Imam al-Muwaffaq dalam kitabnya, al-Mughni. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/310).

Justeru, beliau mencadangkan supaya jumlah zakat yang besar, dibayar dan diberikan kepada Majlis Agama Islam Negeri masing-masing terlebih dahulu.

Tambahnya, jika terdapat sejumlah wang yang diberikan oleh agensi mengurus zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf melalui skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf, maka berikanlah kepada Palestin.

“Inilah yang menurut saya lebih baik kerana meraikan kedua-dua pihak yang tidak dapat dinafikan lagi kedua-duanya sangat memerlukan kepada zakat tersebut.

“Dengan keadaan semasa di Gaza yang masih meruncing, pelbagai bentuk penyaluran sama ada zakat, infaq, atau apa cara sekali pun perlu disampaikan ke sana dengan segera,” jelasnya di laman X.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain