suria

Pagar penuh coli lokasi pelancongan unik New Zealand... Tradisi berterusan kononnya cari pasangan hidup

Cardona menjadi tumpuan ramai kerana 'keunikan' salah satu lokasi tarikan pelancongannya.

ANDA mungkin pernah melihat perkongsian gambar di internet memaparkan begitu banyak coli digantung di pagar.

Bukan satu atau dua, tetapi beribu-ribu coli tergantung di pagar tersebut.

Melihat gambar tersebut, sudah semestinya banyak persoalan muncul di minda, seperti di manakah lokasinya, mengapa orang menggantung coli, mengapa tradisi itu berlaku dan pelbagai soalan yang menerjah fikiran.

Di manakah pagar ini?

Untuk pengetahuan anda, pagar yang sarat dengan coli tergantung itu terletak di Cardona, New Zealand.

Tempat tersebut terkenal di seluruh dunia kerana pakaian dalam wanita.

Kini ia telah menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di New Zealand dan pelancong pasti tidak ketinggalan untuk ke Cardona bagi melihat sendiri pemandangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Alang-alang ke Korea Selatan apa kata terus ke Busan! Ini 14 lokasi best yang boleh anda kunjungi

Dikhabarkan juga bahawa kebanyakan pelancong wanita yang datang ke lokasi itu turut meneruskan 'tradisi' dengan menggantung coli mereka.

Tidak kurang juga ramai pengunjung menjadikannya salah satu port wajib bergambar!

bra 2

Deretan coli yang digantung pada pagar di Cardona.

Asal usul kisah coli digantung

Terdapat pelbagai versi cerita mengenai asal usul mengapa coli digantung di pagar tersebut.

Antaranya, ia disebabkan trend di mana apabila ada wanita yang menggantung coli, pelancong wanita lain turut melakukan perkara yang sama.

Selain itu, ia dikhabarkan sebagai simbol kebebasan.

Pada masa yang sama, dikatakan ia adalah sebagai tanda sokongan untuk pesakit kanser payudara. Ini kerana di sini, sumbangan juga diambil untuk kebajikan pesakit kanser payudara.

Secara kebetulan, pemilik properti di pagar ini juga bekerja untuk pertubuhan kebajikan kanser payudara.

Ada juga kisah mengatakan wanita yang menggantung coli mereka di sini akan mendapat pasangan hidup.

Disebabkan itu, ramai wanita turut melakukannya.

Bilakah tradisi ini bermula?

Menurut laman web New Zealand, pada mulanya hanya empat coli yang digantung pada sekitar penghujung tahun 1998.

Beberapa bulan kemudian, bilangan coli meningkat kepada lebih daripada 60 helai.

Jumlah kian bertambah dan kini beribu-ribu coli tergantung di pagar tersebut.

Malah pagar itu kemudian dibuat lebih panjang agar pelancong wanita tetap meneruskan 'tradisi' tersebut. - Newsncr

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain