suria

Bosan asyik bercuti di tempat sama? Terokai 7 ‘hidden gem’ ini yang tak ramai tahu

'Hidden Gem' yang wajib anda terokai.

BOSAN asyik berkunjung ke destinasi yang sama untuk bercuti?

Mahu bercuti ke luar negara, tapi bajet pula tidak mengizinkan kerana perbelanjaan pastinya tinggi.

Pada masa sama, lokasi tumpuan dan popular juga dirasakan sudah puas dikunjungi.

Tapi adakah anda begitu yakin sudah meneroka dan menjejakkan kaki ke serata Malaysia?

Jika tidak, apa kata anda mengisi percutian anda dengan melawati beberapa ‘hidden gem’ ini.

Tasik Pepsi Blue menjadi tarikan baharu di Terengganu. - Penang Foodie

Tasik Pepsi Blue menjadi tarikan baharu di Terengganu. - Penang Foodie

1. Tasik Pepsi Blue

Sekali pandang, ia kelihatan seperti kolam biru kerana dikelilingi bukit manakala airnya berwarna biru kehijauan. Ada juga yang menyamakannya dengan Kawah Putih di Bandung, Indonesia iaitu tasik semula jadi yang terhasil daripada letusan gunung berapi.

Untuk pengetahuan anda, lokasi menarik yang terhasil daripada aktiviti melombong emas suatu masa dahulu, akan dibangunkan kerajaan negeri dan diperkenalkan kepada pelancong luar.

Bagi anda yang mahu menikmati panorama indah ini, hanya perlu melakukan aktiviti 'jungle tracking' kira-kira lima hingga 10 minit sahaja.

Lokasi: Mukim Rusila, Kuala Terengganu, Terengganu.

Muzium Tentera Darat yang terbesar di Malaysia. – Laman sesawang MPPD

Muzium Tentera Darat yang terbesar di Malaysia. – Laman sesawang MPPD

2. Muzium Tentera Darat

Melihat aset-aset dan jentera yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah pasti mengujakan sesiapa sahaja. Selain dapat membangkitkan semangat patriotik dalam diri, anda juga boleh mengetahui nama serta fungsi kesemuanya.

Apa yang lebih menarik adalah terdapat terowong bawah tanah di sini dan anda boleh melaluinya dengan merasai sendiri pengalaman ala tentera.

Pengunjung berpeluang menyusuri terowong bawah tanah. - Instagram N9tourism

Pengunjung berpeluang menyusuri terowong bawah tanah. - Instagram N9tourism

Muzium Tentera Darat ini juga merupakan muzium tentera yang terbesar di Malaysia dan setanding dengan muzium-muzium tentera di luar negara berdasarkan kelengkapan infrastruktur serta bahan pengisian yang dipamerkan.

Menurut laman sesawang Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), penubuhannya diilhamkan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein.

Lokasi: Batu 4, berdekatan Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Negeri Sembilan.

Aki's Gallery merupakan lokasi wajib dilawati di Lenggong. - Instagram TourismPerak

Aki's Gallery merupakan lokasi wajib dilawati di Lenggong. - Instagram TourismPerak

3. Aki's Gallery

Galeri ini milik Lukhman Mahmud atau lebih dikenali sebagai Aki Aji. Difahamkan, beliau telah mengumpul pelbagai barangan antik dan sejarah yang berusia lebih 15 tahun.

Sekurang-kurangnya 500 koleksi dipamerkan dan kesemuanya pasti mengembalikan nostalgia zaman dahulu.

Peralatan lama yang digunakan untuk memproses getah turut dipamerkan. - Instagram TourismPerak

Peralatan lama yang digunakan untuk memproses getah turut dipamerkan. - Instagram TourismPerak

Koleksi pameran di galeri ini merangkumi banyak aspek kehidupan Melayu dan kampung. Ia terdiri daripada pelbagai barangan tradisional yang digunakan dalam kehidupan seharian termasuk untuk penanaman padi, perkahwinan, wang lama mahupun senjata tradisional.

Lokasi: Kampung Chepor, Lenggong Perak.

Perkampungan 'tersembunyi' di Pulau Ketam begitu mendamaikan. - Instagram Discover Selangor

Perkampungan 'tersembunyi' di Pulau Ketam begitu mendamaikan. - Instagram Discover Selangor

4. Pulau Ketam

Pulau Ketam, Selangor merupakan salah satu lokasi menarik yang harus anda kunjungi sekiranya berada berdekatan dengan Pelabuhan Klang.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa perkampungan ini telah wujud sejak 1880 dan masyarakatnya terdiri daripada nelayan berbangsa Cina.

Untuk berkunjung ke lokasi ini, anda perlu menaiki bot laju atau feri dari Jeti Pelabuhan Klang.

Bagi mereka yang ingin merasai kehidupan sebagai nelayan, apa kata anda meluangkan masa beberapa hari di sini dan menikmati kehidupan yang begitu mendamaikan.

Jangan lepaskan peluang merakam setiap aktiviti yang dilakukan, pastinya menjadi kenangan terindah.

Lokasi: Perkampungan nelayan, Pulau Ketam, Selangor.

Dinding gua berwarna hijau jade menjadikan Gua Silabur unik dan menarik. - Traworld

Dinding gua berwarna hijau jade menjadikan Gua Silabur unik dan menarik. - Traworld

5. Gua Silabur@Jade Cave

Apa kata anda kosongkan fikiran terlebih dahulu kerana Gua Silabur di Tebakang, Serian Sarawak ini bukan sekadar gua seperti yang anda sangkakan.

Jika anda pertama kali menjejakkan kawasan ini, pasti anda akan terpukau dengan keindahan alam semula jadi yang begitu mengasyikkan kerana gua ini bersinar kehijauan seperti batu jed.

Perjalanan keseluruhan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit kerana perlu menelusuri kebun sawit dan kawasan datar hutan. Pun begitu, tempoh perjalanan adalah bergantung kepada kelajuan dan stamina si pendaki.

Tapi percayalah, ternyata segala penat lelah anda sangat berbaloi melihat keindahan alam semula jadi di sini.

Lokasi: Kampung Lobang Batu, Serian

Teratak Simpul turut dilengkapi dengan fasiliti yang memudahkan pengunjung – Instagram KedahTourism

Teratak Simpul turut dilengkapi dengan fasiliti yang memudahkan pengunjung – Instagram KedahTourism

6. Teratak Simpul

Jika anda suka beriadah, berkelah sambil mandi-manda bersama keluarga, Teratak Simpul yang terletak di Baling, Kedah ini mejadi lokasi terbaik untuk dikunjungi.

Merupakan sebuah campsite, lokasi istimewa ini terletak lebih kurang 30 minit perjalanan dari pekan Baling dan ia merupakan kawasan terpencil yang sunyi.

Selain dapat merasai suasana yang nyaman seperti berada dalam dusun tua, anda juga boleh mandi di sungai kerana airnya sangat jernih, sejuk dan menyegarkan.

Berkhemah dengan suasana desiran air sungai pasti menenangkan - Instagram KedahTourism

Berkhemah dengan suasana desiran air sungai pasti menenangkan - Instagram KedahTourism

Lebih menarik apabila anda boleh memasang khemah mahupun menyewa pondok yang disediakan dengan harga-harga tertentu. Fasiliti seperti surau dan tandas turut disediakan.

Bagaimanapun, buat anda yang hendak berkelah dan menyewa pondok, tempoh untuk berada di situ bermula pukul 9.30 pagi sehingga 6 petang sahaja.

Bagi mereka yang mahu bermalam, bolehlah memasang khemah.

Dah alang-alang berada di Teratak Simpul, kenapa tidak singgah ke Terowong Komunis Weng yang terletak berdekatan, tentunya berbaloi.

Lokasi: Kampung Weng Dalam, Baling, Kedah.

Pengalaman menginap di chalet Istana Sangkut yang mengagumkan. - TourismKelantan

Pengalaman menginap di chalet Istana Sangkut yang mengagumkan. - TourismKelantan

7. Istana Sangkut

Merupakan kawasan penginapan di dalam dusun, chalet yang dibina di sini mempunyai bentuk unik dan menarik.

Apa yang menjadi tumpuan selain binaan yang comel adalah nama yang digunakan bagi setiap chalet tersebut berdasarkan filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Malah papan tanda 'Istana Sangkut' juga ditulis menggunakan arang seperti filem Do Re Mi, ternyata sungguh klasik!

Binaan chalet bukan sahaja unik tetapi memberi keselesaan kepada pengunjung. – Tourism Kelantan

Binaan chalet bukan sahaja unik tetapi memberi keselesaan kepada pengunjung. – Tourism Kelantan

Apabila berada di sini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti 'outdoor' antaranya jungle tracking, flying fox dan water crossing. Selain menikmati keindahan air terjun, anda juga boleh merasainya sendiri dengan mandi-manda sambil berkelah.

Lokasi: Kampung Chatel, Lata Rek, Laloh, Kelantan.

Tentunya lokasi-lokasi menarik ini menjadi pilihan anda untuk bercuti. Apa tunggu lagi? Terokailah beberapa kawasan baharu yang pastinya memberi pengalaman terbaik buat anda.

Anda bukan sahaja dapat merakam setiap memori dan kenangan terindah yang dicipta di sini, malah anda juga boleh berkongsinya di laman sosial anda.

Pastinya kunjungan anda ke lokasi-lokasi ini dicemburui dan menarik perhatian mereka yang lain untuk turut menikmati keindahan ‘hidden gem’ ini.

logo

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain