suria

Jom bawa famili jalan-jalan... Ini 10 permainan paling sempoi di Genting Skyworlds Theme Park

Aplikasi Genting Skyworlds memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk menempah slot, mengimbas gambar, membeli makanan dan pelbagai lagi akses menarik.

TIDAK perlu runsing mengeluarkan belanja yang besar khususnya tiket penerbangan mahupun hotel bertaraf lima bintang, jika hanya sekadar untuk merasai percutian ala Las Vegas.

Cukup sekadar memandu sejauh 50 kilometer (km) dari Kuala Lumpur sambil menghirup udara segar merentasi banjaran Titiwangsa menuju ke 'Puncak Keriangan', Genting Skyworlds Theme Park di Genting Highlands Pahang.

Tidak hanya jauh dari kesibukan bandar, taman tema ini menjadi lokasi tepat untuk mencari keseronokan pada tahap maksimum dengan mendedahkan pelbagai permainan yang menarik dan menguji tahap ketahanan mental serta fizikal anda.

ARTIKEL BERKAITAN: Menimba ilmu tak semestinya dalam kelas! Ini 6 destinasi menarik di Selangor sesuai untuk lawatan sambil belajar

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu lagi tempuh perjalanan berjam-jam, SKS Airways kan ada... jom 'terbang' ke Pulau Pangkor, Tioman dan Redang

Ia adalah destinasi paling praktikal jika anda buntu untuk membawa anak-anak bergembira khususnya pada hari minggu, malah Genting Skyworlds Theme Park yang baru sahaja dibuka pada 8 Februari 2022, membawa pengunjung mengembara ke sembilan 'alam' unik.

Pelbagai pengisian dijalankan bagi memberi keseronokan maksimum kepada ibu bapa yang membawa anak bercuti, rakan-rakan termasuk aktiviti permainan taman temanya, membeli-belah, makan, bergambar, menonton persembahan eksklusif dan menghirup udara sejuk.

Kepuasan jelas terasa dengan lebih daripada 20 permainan yang dibina di taman berkeluasan melebihi 10.5 hektar itu yang tentunya bakal membuatkan anda rambang mata.

Sememangnya setiap satunya mempunyai tarikan tersendiri dan antara aktiviti yang boleh anda cuba termasuklah;

1. Mammoth Fun Zone

Sebagai permulaan, apa kata cuba permainan di bahagian Ice Age seperti 'Mammoth Fun Zone', pancutan air yang keluar secara tiba-tiba dari mulut Ikan Piranha menambahkan lagi keseronakan kanak-kanak.

Jika menaiki Awana SkyWay Cable Car, anda boleh nampak patung Mammoth yang megah berdiri dari atas selain permainan 'Set sail on Caption Gutt's Pirate Ship'.

Tidak hanya itu, pengunjung bebas berswafoto dan menjelajah 'dunia' unik yang lain, malah setiap sudut permainan disediakan jurugambar profesional dan mudah di akses dalam aplikasi Genting Skyworlds selepas mengimbas wajah.

2. Alpha Fighter Pilots

Alpha Fighter Pilots yang terletak di Andromeda Base sememangnya membuat bulu roma anda naik.

Pusingan selama 90 saat itu cukup menggerunkan penumpang, tetapi kenikmatan dapat dirasai dipenghujung permainan.

Perlu diingat, anda tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan berharga seperti telefon bimbit untuk tujuan merakam, topi, beg tangan dan minuman ketika menaiki permainan ini.

3. Blue Sky Carousel

Apa kata cuba permainan Blue Sky Carousel yang membawa penumpang berpusing pada tahap minimum.

Permainan dengan warna serba kebiruan itu menerima tetamu dari usia enam tahun dan keatas.

Ketika memasuki gerbang taman tema, pusing sahaja ke sebelah kanan anda sudah berada di 'dunia' Rio yang indah dengan kepelbagaian warna dan corak sepanjang berjalan disekitar kawasan itu.

4. Terraform Tower Challenge

Terletak di Andromeda Base, Terraform Tower Challenge merupakan permainan nombor satu paling menggerunkan di Genting Skyworlds.

Ketakutan terasa ketika menaiki permainan ini dengan jeritan para penumpang yang jelas kedengaran dari kejauhan lagi.

Bagaimanapun, hanya mereka yang berani mengambil risiko dibenarkan menaikinya. Selain kelajuan turun dan naik yang membuat sesiapa sahaja tidak dapat melupakan permainan itu.

5. ESD Global Defender

Bagi mereka yang inginkan kelainan, ESD Global Defender sesuai sebagai tempat untuk anda menjerit sepuas hati.

Permainan ini terletak di Central Park akan membawa orang ramai berpusing 360 darjah yang cukup membuatkan sesiapa sahaja menutup mata sewaktu menaikinya.

Lebih menyeronokkan, penumpang boleh mengawal kedua-dua sayap pesawat pada sebelah kiri dan kanan seolah-olah sedang menembak musuh.

6. Night At The Museum: Midnight Mayhem

Paling best, Night At The Museum yang terletak di Central Park memberikan anda pengalaman seolah-olah berada di muzium nyata.

Sebaik melangkah masuk sahaja, anda akan mula rasa teruja, namun pada pintu seterusnya perasaan seram dengan bingkai gambar potret manusia bergerak secara tiba-tiba dikelilingi kotak-kotak kayu, bilik kosong, almari, televisyen paparan kabur serta bunyi suara-suara haiwan.

Pengunjung juga dapat merasai permainan berpasangan 'Shot The Monkey' dengan mengira jumlah mata terkumpul untuk mencari pemenang.

7. Sid's Rock 'N' Slide

Anda juga boleh mencuba menaiki permainan Sid's 'N' Slide di Rio, untuk merasai kelainan seperti dihanyutkan air.

Apa yang menarik disini, anda bebas merakam sewaktu duduk sambil menikmati pemandangan sekitar dengan udara segar.

Sid's Rock 'N' Slide juga antara permainan baharu yang dibawakan khas untuk pengunjung di dunia Ice Age.

8. Boot Camp Training

Antara aktiviti-aktiviti lain yang terdapat di Genting Skyworlds termasuklah Boot Camp Training yang terletak di Andromeda Base.

Permainan ini menguji kekuatan fizikal di tahap minimum memandangkan anda akan dipakaikan tali keselamatan yang membantu untuk berjalan dititian, memanjat tembok dan pagar, serta tali gelongsor.

Bayangkan sambil menaiki tali gelongsor, anda bukan sahaja dapat menikmati persekitaran yang penuh dengan permainan, malah seolah-olah terbang diawangan.

9. Independence Day: Defiance

Bagi yang inginkan sesuatu yang paling menyeronokkan, rasailah pengalaman menakjubkan di Independence Day: Defiance di bahagian Central Park.

Pengunjung akan dibawa meneroka dunia moden, bulan, alam semesta dan dunia baharu sambil berjumpa lawan iaitu makhluk asing yang pastinya akan menghalang setiap perjalanan anda.

Menariknya, permainan ini tidak memerlukan sebarang tenaga, pengunjung hanya perlu duduk menikmati kota 3D sambil gerakan kerusi seolah-olah anda sedang terbang.

10. Epic Hummingbird Flyers

Selepas seharian penat menghabiskan masa di taman tema Genting Skyworlds, apa kata luangkan masa di Epic Hummingbird Flyers.

Permainan ini terletak di 'dunia' Epic, membawa anda berpusing pada tahap minimum sambil menikmati pemandangan dan menghirup udara segar yang pastinya akan menghilangkan rasa lelah dan merehatkan tubuh.

Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam suasana penuh keseronakan dan kejutan. Paling penting, best, puas, selfie. Jom ulang!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain