suria

Menimba ilmu tak semestinya dalam kelas! Ini 6 destinasi menarik di Selangor sesuai untuk lawatan sambil belajar

Timba ilmu pengetahuan luar dari suasanan bilik darjah di tempat-tempat menarik sekitar Negeri Selangor. - Gambar Instagram @syahmihaafar_ @iamnazirul

LAWATAN sambil belajar merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk pelajar sekolah, malah ia paling ditunggu-tunggu oleh mereka.

Tak kira di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah lawatan sambil amat membantu dalam proses menimba ilmu yang tidak terhad kepada belajar secara teori di kelas sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu lagi tempuh perjalanan berjam-jam, SKS Airways kan ada... jom 'terbang' ke Pulau Pangkor, Tioman dan Redang

Banyak penyelidikan di luar sana menunjukkan bahawa program lawatan seperti ini akan membantu pelajar menambah ilmu dan pengalaman dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Pembukaan semula sesi persekolahan bagi tahun 2022 dengan kes Covid-19 yang menyusut baru-baru ini, memberikan peluang kepada pihak sekolah untuk membawa pelajar keluar merasai sendiri pengalaman belajar di bawah keindahan alam.

Enam lokasi menarik ini antara yang sesuai untuk lawatan sambil belajar:

1. Muzium Coklat, Kota Damansara

Muzium Coklat pertama di Malaysia yang terletak di KOta Damansara mengalu alukan kedatangan pelajar untuk membuat lawatan sambil belajar dan ia telah beroperasi sejak tahun 2013.

Muzium itu juga menyediakan tiga elemen asas seperti pendidikan mengenai koko dan coklat, proses pembuatan coklat, dan pembelian coklat keluaran tempatan.

Paling best, murid yang berkunjung dapat merasai kelazatan coklat selepas dihasilkan pihak muzium melalui demonstrasi pembuatan coklat secara langsung kepada mereka.

2. Zoo Negara

Pasti sahaja lawatan ke Zoo Negara menyoronokkan bukan? Para pelajar pasti sudah didedahkan dengan hidupan zoo sewaktu kecil lagi oleh ibu bapa.

Tempat hidupan pelbagai haiwan itu juga menyediakan seminar dan pembelajaran yang melibatkan aktiviti pemuliharaan dan pengurusan hidupan liar, di samping didedahkan dengan pengetahuan tentang tingkah laku, cara pengendalian haiwan dan keselamatan awam.

Selaras dengan matlamat utama zoo negara tentang pemuliharaan hidupan liar, ia turut menyediakan program yang dinamakan Zoo Camp Programme yang merangkumi aktiviti Night Walk, Wildlife Enrichment Programme dan Campfire.

3. Selangor Fruit Valley

Terletak di Bestari Jaya, kawasan yang terbentang luas dengan pelbagai daya tarikan membolehkan lawatan sambil belajar ini meninggalkan kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Pengalaman merasai aktiviti pertanian setidaknya memberikan murid pengetahun di luar kelas, malah dapat merasai pelbagai jenis buah tempatan dan sayuran hijau yang segar.

Selangor Fruit Valley menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh mengisi program lawatan itu dengan penuh keseronokan, termasuklah aktiviti memetik sayur, menoreh getah, lawatan ke taman haiwan dan rumah kampung, serta pelbagai lagi.

4. Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, dan Kampung Haji Dorani, Sungai Besar

Menggagau ikan dan menganyam daun kelapa sememangnya aktiviti menyeronokkan di kampung.

Pelajar juga dapat merasai sendiri pengalaman dan suasana kehidupan orang kampung, yang kebiasaannya dikelilingi sawah padi dan melawat rumah tradisional.

Aktiviti yang memuaskan itu boleh dilakukan di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang dan Kampung Haji Dorani, Sungai besar.

5. Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Mempunyai keluasan 600 hektar dan dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong, Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menawarkan pelbagai aktiviti alam semulajadi kepada pelajar sekolah.

Pelajar dapat melakukan aktiviti seperti berjoging di Rover Track, berkelah, mengayuh basikal dikelilingi kehijauan hutan, serta dapat mempelajari mengenai keunikan alam semula jadi.

Pastinya rombongan pelajar akan terpegun melihat keindahan suasana sekeliling institusi yang terletak di Kepong itu.

6. Taman Botani Negara, Shah Alam

Taman Botani Negara bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, malah ia mempunyai banyak lagi pembelajaran dan kajian yang boleh dilakukan di situ.

Taman yang mula dibangunkan pada 24 April 1986 ini, adalah pilihan paling tepat untuk pihak sekolah membawa pelajar datang sambil belajar.

Mereka juga berpeluang untuk mempelajari proses penanaman bunga, lawatan ke taman haiwan, nature walk dan penjagaan alam sekitar, selain kemudahan yang disediakan seperti tram (keretapi tertutup bergerak) membuat lawatan ini lebih menyeronokkan.

Tidak dinafikan, lawatan sambil belajar memberikan kepuasan kepada pelajar selain membantu mereka berfikir di luar kotak melalui pendedahan kaedah pembelajaran alam semulajadi yang pastinya sukar untuk dilupakan.

Walau bagaimanapun, pelajar serta pengunjung perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara ketika datang berkunjung di mana-mana pusat lawatan.

Sebarang maklumat lanjut, pihak sekolah atau para ibubapa dialu-alukan untuk melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor iaitu www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang program lawatan ke Negeri Selangor, atau layari Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk mengikuti sebarang kemas-kini #PusingSelangorDulu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain