suria

Taman tema Genting SkyWorlds bakal dibuka tak lama lagi, pengunjung boleh mengembara ke 9 dunia

Taman Tema Genting Skyworlds bakal menerima pengunjung mulai 8 Februari ini.

GENTING Skyworlds yang menjadi taman tema Asia Tenggara yang paling dinanti-nantikan ramai bakal membuka pintunya pada 8 Februari 2022 selepas pembukaannya tertangguh beberapa tahun yang lalu.

Menariknya, sempena pembukaan pra pelancaran ini, Genting Skyworlds menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus jualan harga tiket di laman web syarikat dari 8 Februari hingga 31 Mac ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menimba ilmu tak semestinya dalam kelas! Ini 6 destinasi menarik di Selangor sesuai untuk lawatan sambil belajar

Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit berkata, harga tiket selepas diskaun 20 peratus bagi dewasa berjumlah RM151 berbanding harga asal RM189.

Overview of Andromeda Base

Pemandangan sekitar Andromeda Base.

Bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110cm pula, harga tiket selepas diskaun bernilai RM128 berbanding harga penuh RM161 seorang.

Manakala kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90cm adalah percuma untuk kemasukan.

"Kami sudah bersedia, akhirnya dapat menunjukkan taman tema kami kepada dunia, tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia.

Central Park - Asteroid Arcade

Central Park - Asteroid Arcade​.​​​​​​

"Pembukaan taman tema ini juga akan menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan," katanya.

Ujarnya, selepas membeli tiket secara dalam talian, para pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), sebuah aplikasi pintar yang dapat menjimatkan masa di samping membantu mengelakkan pengunjung daripada menunggu lama.

ESD Exchange

Gambaran 3D ESD Exchange.

"Masa penungguan akan dipaparkan di aplikasi tersebut dan para pengunjung bolehlah merancang masa mereka untuk aktiviti pilihan seperti permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu.

"Syarikat kami menerima tawaran promosi dan baucar diskaun, malah terdapat tempat makan, membeli belah, permainan serta perkhidmatan Photo+ yang canggih," ujarnya.

Naib Presiden, Ketua Operasi Taman Tema, Resort World Genting, Greg Pearn menjelaskan, sesetengah tarikan masih di bawah proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima para pengunjung.



Gambaran Epic Voyage to Moonhaven.

"Usaha membuka sebuah taman tema di masa pandemik ini adalah sesuatu yang amat mencabar, walaupun segala usaha telah dilakukan untuk memastikan setiap tarikan dapat dibuka, masih terdapat sebahagian kecil tarikan yang memerlukan masa yang lebih lama untuk disiapkan," jelasnya.

Taman Tema Genting SkyWorlds yang terunggul itu bakal membawa para tetamu mengembara ke sembilan 'dunia' berbeza yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keterujaan dengan permainan dan tarikan bertaraf dunia.

Antara 'dunia' unik penuh keseronakan bertemakan filem yang pastinya sukar untuk dilupakan adalah Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic dan Rio.

Jika menghadapi kesukaran mengenai pembelian tiket, pengunjung boleh melayari laman web Genting SkyWorlds dan aplikasi Genting SkyWorlds bermula jam 10 pagi pada 4 Februari ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain