suria

Hanya 10 minit dapat keputusan... Penumpang Emirates wajib jalani ujian Covid-19

Syarikat Emirates menjalani ujian pemeriksaan pra Covid-19 kepada penumpang sebelum berlepas.

SYARIKAT penerbangan gergasi Emirates perkenalkan ujian darah koronavirus yang pertama dalam industri ini dan keputusannya boleh diketahui dalam tempoh hanya 10 minit.

Ujian pengesanan wabak Covid-19 ini dilakukan ke atas penumpang yang berlepas dari pangkalan udara di Dubai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai nak berehat selepas wabak Covid-19 berakhir... Tempahan ke UK dan Sepanyol meningkat awal 2021

Syarikat penerbangan ini kembali memulakan operasi secara terhad awal bulan ini selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggantung semua penerbangan pesawat komersial.

Keputusan ujian darah boleh diketahui dalam tempoh 10 minit.

Penerbangan dibuka untuk warganegara asing yang ingin meninggalkan negara ini, tetapi tidak membenarkan kemasukan penumpang ke UAE.

Emirates dalam satu kenyataan memberitahu: “Semua penumpang dalam penerbangan ke Tunisia diuji untuk Covid-19 sebelum berlepas dari Dubai.

"Emirates adalah syarikat penerbangan pertama yang melakukan ujian Covid-19 pantas untuk penumpang."

Ujian darah dilakukan oleh Dubai Health Authority di kawasan daftar masuk, dengan keputusan keluar dalam masa 10 minit.

Penerbangan Emirates hanya beroperasi untuk membawa penumpang keluar dari UAE sahaja.

Ketua Pegawai Operasi Emirates, Adel al-Redha, berkata, pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kemampuan ujian pada masa akan datang dan memperluasnya ke penerbangan lain.

"Ini akan membolehkan kita melakukan ujian di lokasi dan memberikan pengesahan segera bagi penumpang Emirates yang memerlukan sijil ujian Covid-19".

Syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah itu juga memberitahu bahawa proses pembersihan dan pembasmian kuman pesawat dilakukan di Dubai setiap kali selepas penerbangan.

Emirates, Dubai, Covid-19, Ujian, Darah

Artikel Lain