"Lahir di AS tapi saya 100 peratus Malaysia, Melayu" - Pemain MLS, Wan Kuzain - Personaliti Sukan | mStar

"Lahir di AS tapi saya 100 peratus Malaysia, Melayu" - Pemain MLS, Wan Kuzain

Wan Kuzain meraikan gol pertamanya pada kejohanan MLS, Jun lalu.

MESKIPUN dilahirkan dan membesar di Carnondale, Illinois, Amerika Syarikat (AS), Malaysia sentiasa berada di hati pemain Sporting Kansas City yang sedang meningkat naik, Wan Kuzain Wan Kamal.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, dia menyukai segalanya tentang Malaysia, tempat lahir ibu dan bapanya.

“Saya suka segalanya tentang Malaysia… makanan, budaya dan masyarakat yang berbilang kaum… segalanya.

“Sebab itu saya suka bercuti dengan keluarga saya yang tinggal di sini. Tiada tempat yang lebih bagus daripada Malaysia.

“Saya juga pernah pergi ke Rantau Panjang (Kelantan) pada 2017. Agak seronok dapat ke sana tapi tak dapat ulang bulan lalu kerana ada sesetengah tempat di negeri itu dilanda banjir. Jadi bukan waktu terbaik untuk ke sana waktu itu,” katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik itu, ibu bapanya sentiasa menekankan nilai dan budaya Melayu dalam dirinya.

“Saya lahir di AS tetapi saya 100 peratus Malaysia. Saya juga 100 peratus Melayu.

“Saya suka nasi lemak, asam laksa dan ayam percik. Ayah saya selalu masak masakan Melayu di rumah,” katanya.

Wan Kuzain melakukan aksi timbang bola semasa sesi bertemu peminat dan media di Football Republic, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. - foto Shaari Chemat/The Star

Pada masa sama, Wan Kuzain berkata ibu bapanya turut bertutur bahasa Melayu dengan mereka adik-beradik semasa di rumah.

Bagaimanapun, dia tidak menguasai sepenuhnya bahasa ibunda itu kerana sudah biasa dengan penggunaan bahasa Inggeris sejak kecil lagi.

“Jika di rumah ibu bapa saya akan cakap Melayu tapi saya akan jawab dalam bahasa Inggeris. Saya faham tapi sukar bagi saya untuk jawab dalam bahasa Melayu.

“Ia ambil masa. Saya boleh cakap Melayu jika anda beri saya sikit masa. Saya faham sikit-sikit. Saya harap boleh bertutur dengan baik pada tahun ini,” katanya.

Wan Kuzain berada di Malaysia baru-baru ini bagi mempromosikan bola sepak di peringkat akar umbi bersama jenama sukan terkenal, Adidas Malaysia.

Dia turut menerima tajaan selama setahun daripada Adidas Malaysia yang membolehkannya menikmati produk terbaharu sebagai usaha untuk menyemarakkan lagi kariernya.

Ditanya mengenai pembabitan awalnya dalam bola sepak, Wan Kuzain berkata dia mula didedahkan dengan sukan tersebut sejak berusia empat tahun.

“Saya kenal bola sepak melalui ayah saya. Dia sering main bola sepak bersama rakan-rakan setiap hujung minggu. Jadi saya dan abang pun ikut sekali.

“Masa zaman kanak-kanak anda suka tendang bola, anda rasa anda disayangi apabila berbuat demikian. Jadi segalanya bermula dengan sekadar ingin mencuba selain mahu bergaul dengan orang ramai,” katanya.

Mengenai penampilannya dalam saingan Major League Soccer (MLS), Kuzain berkata dia amat teruja kerana dapat bertemu beberapa nama besar seperti Wayne Rooney, Didier Drogba dan Zlatan Ibrahimovic.

Wan Kuzain Wan Kamal. - Foto Shaari Chemat/The Star

“Ia satu penghormatan apabila dapat beraksi sebaris dengan pemain yang kita pernah lihat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Macam Zlatan, dia memiliki keperibadian yang amat baik. Saat berjabat tangan dengannya sukar dipercayai.

“Pendek kata, ada sesuatu tentang mereka yang boleh anda ceritakan kepada orang di luar sana. Itulah sebabnya mereka mempunyai karier yang bagus kerana mereka sentiasa yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Nama Wan Kuzain yang menjadikan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil sebagai idolanya hangat diperkatakan pada 2014 apabila video pemain ini mempamerkan skil gelecekan menarik tersebar di internet.

Ketika itu, dia hanya berumur 15 tahun dan sedang bermain di bawah Akademi Bola Sepak St Louis Scott Gallagher (SLSG).

Wan Kuzain merupakan pemain keluaran akademi Sporting KC yang mula menyertai mereka sebagai pemain remaja pada tahun 2016.

Pada tahun yang sama, dia menyertai akademi Swope Park Rangers menerusi kontrak pemain akademi sebelum menandatangani kontrak sebagai pemain United Soccer League (USL) dengan pasukan yang sama.

Pada April 2018, Kuzain memperoleh kontrak homegrown bersama Sporting KC sebelum melakukan penampilan pertama bersama pasukan utama Sporting KC.

Dia turut muncul sebagai pemain berdarah Malaysia pertama meledak gol sulung dalam kejohanan MLS yang dijaringkannya ketika menewaskan Minnesota United 4-1 pada Jun lalu.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain