Safawi ajak penyokong Harimau Malaya beraya di stadium, "Kami lupakan raya demi negara" - Sukan | mStar

Safawi ajak penyokong Harimau Malaya beraya di stadium, "Kami lupakan raya demi negara"

Safawi (tengah belakang) sempat beraya bersama keluarga sebelum kembali bersama skuad negara. Foto: Instagram Safawi

PENYERANG muda negara, Safawi Rasid mengajak semua peminat bola sepak tempatan ‘raya bola’ di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Jelas pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), sambutan Aildilfitri tahun ini agak berlainan berbanding sebelumnya.

Demi lencana skuad kebangsaan Harimau Malaya yang tersemat di dada, pemain negara hanya diberi cuti dua hari untuk menyambut lebaran sebelum kembali ke kem latihan pada hari raya kedua.

“Saya sempat beraya pada hari pertama sahaja. Walaupun sekejap, ia tidak jadi masalah kerana tanggungjawab sebagai anak tetap dapat dilaksanakan.

“Walaupun tidak menghabiskan masa untuk tempoh lama dengan keluarga, setiap tahun saya tetap menyediakan bajet raya untuk keluarga,” jelasnya kepada mStar.

Safawi turut menjaringkan satu gol pada perlawanan persahabatan bertemu Nepal Sabtu lalu.

Penyerang berusia 21 tahun ini berkata, semua pemain lebih memberi fokus kepada perlawanan Jumaat ini.

“Aksi Kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Piala Asia 2023 lebih penting dan kami semua mahu kemenangan pertama bertemu Timor Leste ini.

“Dari segi mental dan fizikal, kami sudah bersedia, lebih-lebih lagi selepas kemenangan aksi persahabatan bertemu Nepal pada Ahad lalu.

“Ia memberi motivasi kepada kami untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.

Safawi kembali ke skuad negara pada Khamis menjelang perlawanan bertemu Timor Leste. Foto: Instagram Safawi

Dalam masa sama, Safawi mengajak semua penyokong bola sepak tempatan sama-sama hadir ke stadium memberi sokongan kepada Harimau Malaysa.

“Kita orang lupakan raya demi negara. Dan saya harap orang ramai datang ke stadium memberi sokongan,” ujarnya.

Sebagai rekod, skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada aksi perlawanan persahabatan Ahad lalu.

Lebih manis, salah satu gol kemenangn itu dijaringkan oleh Safawi.


Safawi Rasid , Harimau Malays , Raya

Artikel Lain