suria

"Itulah kehidupan" - Owen dedah bukan saja di Malaysia, tapi pemain di England tak terlepas isu tunggakan gaji

Michael Owen. Foto AFIQUE YUSOFF/THESTAR

ISU pembayaran gaji yang tidak sistematik bukan sahaja menimpa pemain bola sepak di negara ini tetapi turut berlaku di seluruh dunia termasuk England.

Demikian dedah legenda bola sepak Liverpool, Michael Owen, di mana pemain di negaranya terutama mereka yang beraksi untuk kelab liga bawahan lebih berisiko berdepan masalah gaji.

"Kelab bawahan Liga Perdana Inggeris seperti divisyen 2, 3 dan 4, masalah tunggakan gaji juga berlaku. Saya percaya ia juga berlaku di negara lain.

"Bola sepak tiada beza dengan perniagaan normal, ada kalanya perniagaan berdepan kesukaran, ada kalanya perniagaan amat ok. Saya rasa itulah kehidupan," katanya ketika diminta memberi pandangannya berhubung isu gaji.

Owen bagaimanapun berharap agar masalah tersebut dapat ditangani segera.

"Dunia tidak sempurna dan kita suka menjadi sempurna. Saya harap masalah gaji membabitkan pemain Malaysia dapat diselesaikan.

"Amat sukar untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku untuk setiap situasi tetapi saya harap segalanya akan ok," katanya.

Sebelum ini, Perlis digugurkan daripada Liga Malaysia selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain manakala Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Harapan pasukan itu untuk kembali beraksi dalam Liga M tidak kesampaian selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan penggantungan Singa Utara.

Gara-gara kemelut itu, beberapa pemain pasukan itu cabut lari termasuklah penyerangnya, Safee Sali yang menyertai Petaling Jaya City FC (PJ City FC), dua bulan selepas mengikat kontrak dengan skuad Singa Utara.

Turut berdepan masalah sama adalah Kelantan dan Terengganu.

Artikel Lain