suria

Kapten tinggalkan Singa Utara, kini PFA terima apa saja keputusan MFL

Ahmad Amizal Shaifit menyaksikan Safee (kanan) menandatangani kontrak bersama Perlis 18 Disember lalu, namun pemain itu mengambil keputusan berhijrah ke pasukan lain pada Isnin. Foto: Bernama

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengakui bersedia untuk menerima apa saja keputusan yang bakal diumumkan Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai kedudukan mereka dalam saingan Liga Premier musim ini.

Kedudukan kewangan pasukan Perlis dan enam lagi pasukan Liga Malaysia yang berdepan masalah tunggakan gaji kini sedang dinilai Lembaga Pengarah MFL selepas menghantar dokumen kewangan pada tarikh akhir semalam.

Berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam pada Isnin, kemungkinan keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas tujuh pasukan itu bakal diketahui esok (Rabu).

Menurut Ahmad Amizal, beliau menyerahkan segala keputusan di tangan badan pentadbir Liga Malaysia itu untuk menilai kedudukan skuad Singa Utara.

"Apa yang MFL minta Perlis buat, kita buat dengan menghantar segala dokumen kewangan yang diperlukan, jadi selebihnya kita berserah. Apa saja keputusan MFL kita akan terima,” katanya.

Kedudukan Perlis dalam saingan Liga Premier terus mendapat perhatian apabila beberapa pemain membuat keputusan meninggalkan pasukan dan yang terbaru kapten Mohd Safee Sali.

Ahmad Amizal mengakui PFA tidak ada masalah untuk melepaskan Safee menyertai kelab Unifi Liga Super PJ City FC, manakala sekurang-kurangnya lima lagi pemain turut menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah bekas pemain kebangsaan itu keluar.

“Pemain yang dapat tawaran luar, kalau mereka mahu pergi, kami akan beri pelepasan, kelmarin memang kita sudah beri pelepasan kepada Safee untuk sertai pasukan PJ City, jadi tak ada masalah. Ada empat, lima pemain menyatakan niat secara rasmi (keluar), tapi kami belum buat apa-apa keputusan sama ada nak lepaskan mereka.

“Kita masih cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah berbangkit ini, kita cuba bertahan selagi mana mampu, kita tahu pemain utama keluar tapi akan teruskan perancangan, kita juga ada perancangan lain,” katanya.

Ahmad Amizal mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada Selasa, namun beliau mengesahkan tiada sebarang keputusan diberikan sebaliknya sekadar mendapatkan pandangan.

Perlis, Safee, MFL

Artikel Lain