De Gea hampir pasti kekal di Old Trafford, bakal terima gaji penjaga gol tertinggi dunia - Sukan | mStar

De Gea hampir pasti kekal di Old Trafford, bakal terima gaji penjaga gol tertinggi dunia

MANCHESTER United yakin dapat memujuk David De Gea untuk memperbaharui kontraknya di Old Trafford.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan selepas United menguatkuasakan lanjutan 12 bulan dalam klausa kontraknya sebelum Krismas lalu.

United terdesak untuk menguatkuasakan klausa itu selepas De Gea dilihat cuba melengah-lengahkan masa bagi memperbaharui kontraknya sebelum ini.

United mahu kontrak itu dimuktamadkan pada musim panas lalu tetapi kempen hambar Jose Mourinho membuatkan De Gea teragak-agak untuk kekal bersama pasukan itu.

Namun rundingan dengan wakil De Gea diteruskan kembali bulan lalu selepas pelantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali sementara United.

Meskipun wang bukan faktor utama bagi De Gea, penjaga gol kelahiran Sepanyol itu mahu mendapat gaji seperti diperolehi Alexis Sanchez.

Difahamkan De Gea bakal menandatangani kontrak baharu bernilai 375,000 pound sterling seminggu.

Kontrak baharu itu akan menjadikan De Gea sebagai penjaga gol bergaji paling tinggi di dunia.

Perkembangan terbaharu itu melegakan United yang kini lebih mementingkan kontrak pemainnya sejak Mourinho dipecat Disember lalu.

Sementara itu, Anthony Martial menandatangani kontrak selama lima tahun minggu lalu manakala Ander Herrera dan Ashley Young dijangka bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan di Old Trafford. - Metro.co.uk

David De Gea

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh