suria

Ranking Malaysia kekal ke-167 dunia

KETIADAAN aksi persahabatan antarabangsa pada awal tahun ini menyaksikan skuad bola sepak negara mengekalkan kedudukan ke-167 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi Februari.

Fifa menerusi kemas kini kedudukan ranking dalam laman sesawangnya; www.fifa.com, hari ini  memaklumkan Malaysia mengumpul 985 mata untuk berada dalam kelompok beberapa negara lain seperti Belize (160), Nepal (161) dan Gambia (166).

Kedudukan terbaharu itu, bagaimanapun tidak mengubah nasib skuad Harimau Malaya yang masih ketinggalan jauh berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam di kedudukan ke-99, Thailand (115), Filipina (123) dan Myanmar yang berada pada ranking ke-138 dunia.

Juara tiga kali Piala Asia, Iran, kekal unggul selaku pasukan terbaik Asia selepas naik tujuh anak tangga ke tempat ke-22, diikuti Jepun (27) dan Korea Selatan yang berada pada kedudukan ke-38 dalam kalangan 46 negara Asia tersenarai dalam ranking Fifa.

Tiga tempat teratas turut kekal dengan naib juara Piala Eropah 1980, Belgium mengekalkan kedudukan sebagai pasukan nombor satu dunia dengan 1,727 mata, disusuli juara Piala Dunia 2018, Perancis menduduki tangga kedua selepas ketinggalan satu mata di belakang Belgium.

Sementara juara Piala Dunia lima kali, Brazil kekal di tangga ketiga selepas mengumpul 1,676 mata.Ranking bulanan FIFA itu melibatkan 211 negara.

Fifa, Ranking Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain