suria

Pakaian patuh syariah, teka-teki Liridon & status Piya paling top @Sukan mStar sepanjang 2018

Farah Ann antara atlet gimnastik yang banyak menyumbangkan pingat untuk negara.

SEPANJANG 2018 rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai suka dan duka dalam arena sukan tempatan.

Namun artikel sukan paling mencuri tumpuan pembaca mStar Online sepanjang tahun ini adalah kenyataan Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung isu pakaian patuh syariah sehingga ia mengungguli carta.

Menteri Belia dan Sukan itu tampil mempertahankan atletnya selepas kerajaan PAS Terengganu akan melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet di negeri tersebut mulai tahun depan.

“Sila hormati pilihan wira dan wirawati kita. Jangan ganggu mereka.

“Saya akan mempertahankan mereka tanpa mengira pakaian mereka. Saya di sini kerana mereka," katanya.

Tegas Syed Saddiq, tindakan menentukan pakaian para atlet adalah perkara membimbangkan kerana masa depan sukan seperti gimnastik, renang dan bina badan akan terjejas.

“Ia adalah antara sukan yang diungguli oleh Malaysia memandangkan negara sudah meraih pelbagai pingat dalam acara sukan antarabangsa seperti Komanwel, Olimpik, Asia dan Sukan SEA.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, beberapa atlet telah menghubungi beliau secara peribadi mengenai isu tersebut.

”Saya bertanggungjawab untuk mempertahankan mereka kerana mereka adalah aset negara.

”Terdapat ramai atlet Muslim yang menyumbang pingat kepada negara termasuk Farah Ann Hadi (gimnastik), Nur Dhabitah Sabri (renang) dan Sazali Samad (bina badan)," katanya.

Berita bertajuk "Atlet perlu pakai pakaian patuh syariah? Ini reaksi Syed Saddiq' di mStar Online telah dilihat lebih 110,000 kali.

KFA tidak menyambung kontrak Mat Don.

Teka -teki Liridon bersama Lang Merah terjawab. 

Umum mengetahui Liridon Krasniqi tidak akan memperkuatkan Kedah musim depan selepas KFA mengesahkan tidak akan menyambung kontraknya disebabkan kekangan kewangan.

Status pemain Kosovo itu awal tahun ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong skuad Hijau Kuning apabila spekulasi dia bakal meninggalkan Kedah mula tersebar selepas sebuah portal melaporkan dia diminati sebuah kelab Perancis.

Berita bertajuk "Liridon hantar WhatsApp beri jawapan - KFA' berada di tangga kedua carta berita Sukan pilihan pembaca mStar Online dengan mencatatkan lebih 50,000 page view.

Kontroversi Piya-KAFA. Isu kapten Mohd Badhri Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya yang disisihkan jurulatihnya, Fajer Ebrahim antara isu panas yang menyelubungi kelab pantai timur itu sepanjang saingan Liga Malaysia 2018. 

Piya berkecil hati dengan layanan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas dia hanya mengetahui mengenai khabar penyingkirannya menerusi media.

”Kalau Kafa dan jurulatih tak nak saya, sepatutnya mereka panggil dan bincang. Bukannya memberi kenyataan di laman sosial atau akhbar.

”Saya dan juga Apek (Khairul Fahmi Che Mat) 'blur'. Cara Kafa dan jurulatih buat ni tak betul. Tak profesional.

"Tetapi kami sebagai pemain profesional kami tetap mengikut kontrak dan turun menjalani latihan seperti biasa. Malah jurulatih pun tidak beritahu apa-apa lagi," katanya.

Piya diketepikan jurulatih kerana dikatakan tidak dapat mengikut corak latihan yang diterapkan.

Dalam satu kenyataan kepada mStar Online, Fajer mendedahkan Piya digugurkan kerana tidak dapat mengikut corak permainan diterapkannya.

Tindakan tersebut turut menimbulkan rasa kurang senang penyokong Kelantan yang mengkritik keputusan Fajer yang lebih gemar menurunkan skuad pemain muda musim lalu sehingga Kelantan tersingkir ke kancah Liga Premier musim depan.

Berita bertajuk 'Kafa tak profesional - Piya' mendapat hampir 40,000 page view.

Berikut adalah 10 lagi berita sukan paling hangat di mStar Online sepanjang 2018:

1. Atlet perlu pakai pakaian patuh syariah? Ini reaksi Syed Saddiq.

2. Liridon hantar WhatsApp beri jawapan - KFA

3. Kafa tak profesional - Piya

4. Ramon Marcote 'tinggalkan' padang hijau kuning.

5. Punca Piya, Apek digugurkan akhirnya didedah

6. "Kalau saya presiden FAM, jangan ganggu apa saya buat..."

7. Pelumba trek negara kejutkan juara dunia

8. Menyayat hati Syed Saddiq tenangkan pesilat negara:"Jangan sesekali minta maaf, saya tidak akan terima"

9. Andik Vermansyah serah diri

10. "Ya, kami sudah putus, Qody bukan perampas..." - Safawi

Sukan 2018

Artikel Sebelum

Artikel Lain