suria

Liridon Hantar WhatsApp Beri Jawapan - KFA

Liridon Krasniqi

PEMAIN import tengah Kedah, Liridon Krasniqi telah memberikan jawapan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengenai statusnya yang belum hadir latihan bersama skuad berkenaan.

Pemain kelahiran Kosovo itu memberitahu, dia akan terus ke Surabaya, Indonesia dari negaranya untuk menghadapi perlawanan pramusim.

Penolong Pengurus Kedah, Haris Che Mat berkata, Liridon telah memaklumkan mengenai kehadirannya menerusi aplikasi WhatsApp kepada KFA.

"Dengan makluman ini kita perlu menunggu dulu sehingga Liridon tiba di Surabaya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spekulasi yang tersebar sekarang.

"Oleh itu saya meminta penyokong bersabar untuk mengetahui mengenai masa depannya bersama Kedah," katanya kepada mStar Online.

Spekulasi bahawa Liridon akan meninggalkan Kedah mula tersebar selepas sebuah portal melaporkan pemain itu diminati sebuah kelab Perancis.

Khabar angin itu kemudian menjadi buah mulut penyokong skuad hijau kuning apabila Liridon belum tiba di Alor Setar untuk menjalani latihan persediaan menghadapi musim baharu.

Mengenai perkembangan import baharu Kedah, Haris menjelaskan, bagi mengisi kuota Asean, seorang pemain dari Vietnam akan mengambil tempat jika segala urusan berjalan lancar.

"Setakat ini masih di tahap perbincangan dan selepas semuanya dipersetujui, pemain ini akan tiba di Alor Setar," ujarnya.

"Saya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut sehingga pengumuman rasmi dibuat bagi menghormati semua pihak termasuk pengurusan tertinggi KFA," ujarnya.

Liridon Krasniqi, Haris Che Mat, KFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain