suria

"Chong Wei balik esok, mohon hormati privasinya" - Norza

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)  mengesahkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan pulang ke tanah air dari Taiwan pada Ahad.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei baru sahaja menerima pelepasan untuk kembali ke Kuala Lumpur daripada pasukan perubatan yang merawatnya.

“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan kepada anda bahawa Chong Wei baharu sahaja dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur oleh pasukan perubatan esok.

"Bagi pihak BAM, saya menggesa pihak media dan rakyat Malaysia supaya menghormati privasi beliau dan keluarganya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Mengenai laporan sebelum itu, Norza berkata penafian tersebut dibuat kerana Chong Wei belum   dibenarkan pulang ketika itu.

“Saya telah berhubung dengan legenda badminton negara berusia 36 tahun itu pada Rabu dan pada ketika itu, dia masih belum menerima sebarang pelepasan perubatan,” katanya.

Norza turut menggesa media dan orang ramai supaya menghormati privasi Chong Wei dan keluarganya.  

BAM pada bulan lepas mengesahkan Chong Wei  menghidap kanser hidung tahap awal yang memaksa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa menggantung raket sejak Julai lalu, selain turut terlepas aksi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Beberapa media tempatan sebelum ini mendakwa Chong Wei akan kembali ke Malaysia pada Ahad ini, dengan menaiki jet peribadi setelah selesai menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan. 

Chong Wei, kanser, Taiwan

Artikel Sebelum

Artikel Lain