suria

Karate-Do Pahang mohon Syed Syaddiq campur tangan isu penggantungan sementara

KUALA LUMPUR: Persatuan Karate-Do Pahang (Karapah) meminta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar campur tangan dalam menyelesaikan isu penggantungan sementara persatuan itu.

Karapah digantung sementara oleh badan induk sukan berkenaan, Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), sejak lebih setahun lepas.

Presiden Karapah, Kevin Ramesh berkata akibat penggantungan itu, ahli persatuan tidak dibenarkan mengundi pada mesyuarat agung dwitahunan (BGM) Makaf yang akan diadakan bulan depan.

"Karapah diterima sebagai ahli gabungan Makaf pada 2009. Namun, tanpa dijangka pihak kami menerima surat daripada pihak Makaf yang mengambil tindakan untuk menggantung Karapah pada 1 Jun 2017.

"Penggantungan ini juga tidak adil kerana tiada sebarang surat tunjuk sebab diberi kepada pihak kami," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Jelasnya, isu bermula apabila Jawatankuasa Karapah memutuskan menerima Persatuan Karate Hayashi-Ha Pahang dan Persatuan Karate Daerah Bentong untuk bergabung dengan Karapah pada 2017 demi pembangunan sukan karate di Pahang.

Beliau, bagaimanapun berkata penerimaan ahli gabungan baharu itu tidak disokong setiausaha agung Makaf yang juga merupakan penasihat Karapah ketika itu, Vincent Chen.

Menurutnya, akibat penggantungan itu, pihak persatuan juga tidak dapat berkembang untuk menyumbang ke arah pembangunan sukan berkenaan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

"Malah, atlet-atlet remaja kami yang berpotensi juga tidak berpeluang mewakili negara," katanya.

Susulan itu, Kevin berkata Mesyuarat Exco Makaf menyerahkan kepada SAC Sulaiman Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat perkara tersebut.

"Kami dan Jawatankuasa Disiplin Makaf mengadakan perjumpaan pada 9 Ogos lepas di Majlis Sukan Pahang. Dalam perjumpaan itu, kami mengemukakan segala dokumen dan bukti kepada panel tersebut," katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Disiplin Makaf juga membentangkan isu tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Makaf pada 21 Sept lepas di Melaka. - Bernama

Karapah

Artikel Lain