suria

Aura Zaki Sadri suntik semangat atlet Terengganu ungguli Sukma 2018

Zaki (kiri) bersama atlet olahraga Terengganu.

PETALING JAYA: Pasukan Terengganu dinobat juara keseluruhan dengan kutipan 160 pingat termasuk 56 emas pada edisi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang melabuhkan tirainya di Perak pada Sabtu.

Pencapaian ini sekali gus mengetepikan Wilayah Persekutuan di kedudukan ke dua dengan 139 pingat (52 pingat emas) dan Selangor di tangga ke tiga dengan 181 pingat termasuk 47 pingat emas.

Lebih manis kejayaan cemerlang kontinjen ‘Terengganu Nelang’ itu sedikit sebanyak telah memberi kepuasan tersendiri kepada bekas atlet negara, Zaki Sadri yang diberi mandat memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Olahraga Sukma Terengganu.

Banyak perkata yang membuat bekas atlet lompat kijang dan lompat jauh negara yang dikenali sebagai ‘Kanggaru Emas’ untuk menarik nafas lega.

Selaku petugas Petronas di Kemaman, keputusannya untuk mengambil cuti tanpa gaji selama 10 bulan berbaloi dengan pencapaian skuad olahraganya. 

“Saya terlibat dengan Sukma Terengganu sejak 2002 lagi, tetapi pada edisi 2014 dan 2016 saya tidak terlibat.

“Pada 2017 saya diminta kembali membantu Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) bagi skuad olahraga khasnya.

“Diberi tanggungjawab sebagai pengarah teknikal tidak banyak yang boleh saya lakukan dalam tempoh setahun.

“Saya cuba ubah pendekatan latihan  serta membuat penyusunan semula sistem yang ada, dan alhamdullilah semuanya berjalan lancar.

“Boleh katakan kehadiran saya dalam tempoh setahun itu sebagai aura kepada atlet-atlet mengharungi Sukma kali ini.

“Tumpuan diberikan terhadap aspek motivasi dan semangat kepada atlet kerana urusan di padang diserahkan kepada jurulatih masing-masing.

“Saya lebih kepada penasihat kepada 10 jurulatih negeri yang ada di bawah saya. Dan semuanya berjalan lancar sehingga sasaran MSNT untuk meraih empat emas tercapai di Perak kali ini,” jelasnya kepada mStar Online.

Ketika ditanya perasaannya meraih kejayaan kontinjen Terangganu di negeri kelahirannya, Zaki mengakui dia bersikap profesional.

“Saya tidak ada sikap kenegerian walaupun bersaing di tempat lahir saya. Bagi saya, tanggungjawab dan komitmen yang diberikan lebih penting.

“Mana-mana atlet mahu pun jurulatih, mereka pasti tahu tanggungjawab masing-masing dan tidak timbul sebarang isu yang berkaitan dengan kenegerian.

“Paling utama adalah fokus saya untuk membawa atlet di bawah bimbingan atau pantauan kami ke peringkat yang lebih tinggi, dapat mewakili negara,” katanya. 

Jelas Zaki, rekod terbaik skuad olahraga Terengganu kali ini apabila salah seorang atlet, Azreen Nabila Alias berjaya meraih pingat emas selepas tiga kali percubaan.

“Ketika di Perlis (2014) pulang tanpa pingat, di Sarawak (2016) dia meraih gangsa manakali tahun ini Azreen berjaya meraih emas.

“Satu pencapaian yang membanggakan. Saya akui bukan disebabkan saya berada di sini tetapi kerana program jangka panjang yang dirancang MSNT dan persatuan," tambahnya program penyusunan atlet olahraga Terengganu dirancang sehingga 2020.

Sebagai rekod, Azreen dinobatkan sebagai Ratu Pecut Sukma 2018 selepas muncul juara dalam acara 100 meter dengan catatan baharu 11.82 saat sekaligus memadam rekod milik Siti Fatimah Ahmad (11.82s) dari Johor yang dicatat ketika temasya 2008 di Terengganu.

Malah dia juga muncul juara 200 meter serta membantu kuartet 4x100 wanita dalam meraih emas untuk Terengganu tahun ini.

Zaki Sadri

Artikel Lain