suria

Martial mahu perbaharui kontrak dengan syarat

ANTHONY Martial sedia menandatangani kontrak baharu selama lima tahun di Manchester United dengan syarat Jose Mourinho akan dipecat.

Hubungan penyerang berusia 22 tahun itu dengan Mourinho agak dingin selepas dia melapor diri lambat pada kempen jelajah pra musim United di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.

Martial dilaporkan terbang ke Paris pada 26 Julai lalu untuk menemani teman wanitanya bersalin anak kedua mereka.

Mourinho mendesak lembaga pengarah United untuk menjual Martial tetapi permintaan itu ditolak Ed Woodward.

United mahu Martial menandatangani kontrak jangka masa panjang di Old Trafford dan yakin dia masih boleh dipujuk untuk kekal tanpa mengira status Mourinho bersama kelab itu.

Martial sedang mempertimbangkan tawaran itu kerana dia percaya kontrak tersebut akan memberi bayangan bahawa Mourinho akan dipecat, lapor The Times.

Masa depan Mourinho masih menjadi teka-teki selepas United mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam tiga perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

United tewas 3-2 kepada Brighton sebelum dimalukan Tottenham Hotspur 3-0 di Old Trafford, malam Selasa.

Sekiranya United tewas kepada Burnley pada Ahad, lembaga pengarah mungkin terpaksa memecat pengendali dari Portugal itu.

Kontrak baharu itu bakal menyaksikan Martial menerima pendapatan sebanyak 130,000 pound sterling seminggu.

Anthony Martial, Jose Mourinho

Artikel Berikut

Artikel Lain