suria

MSN perjelas isu Nur Eli Ellina

Ahmad Shapawi Ismail.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengulangi kenyataan bahawa tiada sebarang tunggakan elaun bagi atlet di bawah kendalian MSN, seperti didakwa bekas gimnas negara Nur Eli Ellina Azmi.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata tiada sebarang elaun akan diberikan kepada atlet sekiranya mereka tidak menerima kontrak daripada MSN dan bagi menerima kontrak, atlet mesti dipilih oleh persatuan sukan bersama pemegang taruh yang lain seperti MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau menjelaskan adalah tidak munasabah bagi kes Nur Eli Ellina yang mendakwa tidak menerima elaun daripada November 2017 sehingga Januari 2018 sedangkan beliau tiada dalam mana-mana program MSN.

"Berdasarkan surat diterima daripada Persatuan Gimnastik Malaysia (MGF) bertarikh 5 November, hanya tiga nama utama, Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang disenaraikan, manakala Nur Azira Aziri disenaraikan untuk memenuhi kuota diberikan MOM untuk pasukan gimnastik wanita ke Sukan Komanwel.

"Secara tidak langsung, pada ketika itu Nur Eli Ellina tidak tersenarai dalam program MSN dan tidak melayakkannya menerima sebarang elaun daripada MSN, sama seperti beberapa gimnas lain yang tidak terpilih dalam program ke arah Sukan Komanwel,” katanya menjawab tuduhan Nur Eli Ellina bahawa MSN tidak membayar elaun kepadanya selama enam bulan.

Ahmad Shapawi berkata Presiden MGF, Datuk Mohd Jaya AlBakri turut mengesahkan bahawa pemilihan Jawatankuasa Teknikal Artistik Wanita tertumpu kepada empat gimnas tersebut berasaskan kepada pemilihan jurulatih dan penilaian jawatankuasa teknikal.

Beliau menjelaskan kontrak atlet Program Kita Juara 2017 berakhir 31 Ogos 2017, dan elaun hanya dibayar setakat Ogos, maka bagi dua bulan selepas Sukan SEA berakhir pada September dan Oktober, tiada atlet ditawarkan sebarang kontrak dan menerima elaun kerana masa itu adalah ‘tempoh bertenang'.

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, MSN masih menyediakan kemudahan penginapan dan makanan terutamanya kepada pasukan gimnastik kerana mereka terlibat dalam persiapan ke Kejohanan Kebangsaan pada November, dan Nur Eli Ellina tidak terkecuali mendapat kemudahan itu, katanya.

Sementara itu, Nur Eli Ellina ketika dihubungi Bernama mendakwa mengikut pemahaman beliau, peluangnya untuk menyertai pasukan gimnastik negara ke Sukan Komanwel masih terbuka kerana beliau dimaklumkan terdapat satu kekosongan dalam skuad berkenaan.

"Sebab itu saya jalani latihan seperti biasa dari November sehingga Januari. Saya tunggu kontrak daripada MSN sehingga hujung Januari namun tiada sebarang kontrak ditawarkan dan saya mengambil keputusan untuk bersara," katanya. - BERNAMA

Nur Eli Ellina, MSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain