suria

Piala Uber: Skuad negara gagal ke suku akhir

Sonia kecundang di tangan Chen Yufei. foto S.S.KANESAN/THE STAR

BANGKOK: Skuad badminton negara gagal meloloskan diri ke peringkat suku akhir Piala Uber selepas tewas mudah 1-4 kepada juara bertahan China di Impact Arena di sini hari ini.

Ia merupakan kekalahan kedua pasukan wanita negara selepas kecundang 2-3 di tangan Indonesia semalam, selepas mengharungi dua perlawanan.

Pada aksi hari ini, China mengutip mata pertama menerusi pemain perseorangan, Chen Yufei yang terpaksa berhempas pulas dalam permainan tiga set, sebelum menundukkan pemain negara yang tinggi lampai, Sonia Cheah.

Pemain perseorangan negara bermula baik dengan memenangi set pertama 21-18, tetapi terpaksa mengalah kepada kehebatan pemain China itu dan tunduk pada dua set seterusnya 20-22 dan 18-21.

Pasukan China memperoleh mata kedua melalui pasangan beregu Chen Qiangchen-Jia Yifan yang tidak mengambil masa lama untuk menumpaskan gandingan beregu negara, Goh Yea Ching-Cho Fie Soong 21-9, 21-8.

Mendahulu Malaysia 2-0, China bagaimanapun tersentak seketika apabila pemain perseorangan kedua negara yang juga merupakan bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei berjaya mencuri satu mata daripada juara bertahan itu.

Beliau menewaskan He Binjiao dalam pertarungan tiga set 21-9, 17-21 dan 21-13.

Tersentak dengan kekalahan pemain perseorangan keduanya, China kembali menguasai permainan dan mengesahkan kemenangan mereka ke atas Malaysia menerusi pasangan beregu Huang Dongping-Yu Zheng.

Beregu China itu menewaskan pasangan negara Chow Mei Kuan-Vivian Hoo 21-19, 21-15.

Mata keempat dan terakhir pasukan China disumbangkan pemain perseorangan ketiga, Gao Fanjie yang menumpaskan pemain negara, Lee Ying Ying 21-16, 21-15.

Malaysia akan bertemu Perancis dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok. - BERNAMA

Piala Uber

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain