suria

Walau Tak Mahal, Thanabalan Tetap Cari Kereta Yang Hilang

N.Thanabalan

PETALING JAYA: Kereta kesayangan milik penyerang muda berbisa negara, N.Thanabalan hilang pagi Rabu.

Menurut pemain tinggi lampai kelahiran Rantau, Negeri Sembilan itu, dia menyedari keretanya hilang selepas menjalani upacara keagamaan di Batu Caves, semalam.

"Saya sedar kereta hilang lebih kurang pukul 5 pagi Rabu. Memang terkejut sangat. Ketika itu saya bersama keluarga.

"Saya harap ia dapat dijumpai walaupun tinggal 'body' sahaja. Dan saya telah membuat laporan polis," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut pemain Liga Super Negeri Sembilan ini,  keretanya jenis Iswara berwarna biru dengan nombor pendaftaran TQ 5158 itu amat bermakna dalam kehidupannya.

"Memang kalau nak bandingkan dengan kereta lain, saya beli Iswara tu murah sahaja. Tetapi ia bukan sebab mahal atau murah, nilai sentimental lebih penting.

"Saya anggap itu seperti tuah saya sebab lepas saya beli, keadaan hidup saya makin berubah dan prestasi saya dalam bola sepak semakin baik.

"Rezeki juga bertambah. Sebab itulah saya sayang sangat kereta itu.

"Kalau lepas ni jumpa dan tak lengkap pun tak apa. Saya boleh buat balik," ujarnya.

Dalam pada itu, kes kehilangan kereta melibatkan pemain bola sepak ini turut berlaku kepada seorang lagi pemain muda bola sepak Kedah, Mohd Ariff Farhan.

Kereta Honda Civic Type R bewarna putih milik pemain itu hilang selepas pulang dari latihan di Stadium Darul Aman petang Rabu.

N.Thanabalan, kereta hilang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain