suria

Perlis Tiada Masalah Tunggakan Gaji, Tetapi Tetap Dipotong Mata

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menegaskan, skuad itu tidak mempunyai sebarang masalah tunggakan gaji pemain-pemain setakat ini.

Presidennya, Datuk Rozabil Abdul Rahman (gambar) memberitahu, tidak ada timbul isu pembayaran gaji pemain-pemain, sebaliknya hanya tunggakan bagi bayaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sahaja.

"Tunggakan KWSP pemain-pemain sedang diuruskan. Dalam masa sama surat rayuan telah dihantar dan perkara ini akan diselesaikan," ujarnya ringkas kepada mStar Online menerusi Aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Pada sidang media Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada petang Selasa mendedahkan empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dipotong enam mata berkuatkuasa serta-merta berikutan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain masing-masing.

Perlis antara salah satu daripada dua pasukan Liga Premier (ATM) yang dikenakan hukuman tersebut, manakala dua lagi pasukan dari Liga Super, Terengganu dan T-Team.

Selain hukuman pemotongan mata, empat pasukan tersebut turut dilarang membeli pemain-pemain baharu ketika jendela perpindahan pemain dibuka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, pihaknya telah membuat keputusan untuk mengenakan satu 'pemindahan bank' yang menyebabkan pasukan-pasukan ini tidak boleh mendapatkan pemain baharu.

"Namun begitu, pasukan ini hanya boleh mendaftar pemain baharu jika memperolehi pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain yang sedia ada dalam pasukan dan jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil pengurangan jumlah pemain keseluruhan," katanya.

PFA, Rozabil Abdul Rahman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain