suria

Empat Pasukan Liga M Dipotong Mata

PETALING JAYA: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mendedahkan empat pasukan dipotong mata berikutan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia sejak musim 2015 dan 2016.

Empat pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain ialah Perlis dan ATM daripada Liga Premier manakala skuad Liga Super ialah Kelantan dan T-Team.

"Setelah berbincang dengan lembaga pengarah, kita akan menjatuhkan hukuman pemotongan enam mata.

"Empat pasukan ini dikenakan hukuman penolakan enam mata dari kedudukan liga masing-masing berkuatkuasa serta-merta," jelas Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam (gambar) pada sidang media, Selasa.

Menurut Kevin, pada 7 Mac lalu, surat peringatan kedua telah dihantar dan pihak FMLLP sekali lagi telah menghubungi pasukan terlibat melalui telefon untuk mengingatkan pihak berkenaan supaya melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017.

"Apa yang saya ingin tekankan selepas pemotongan mata ini dibuat, kami telah membuat keputusan untuk mengenakan satu 'pemindahan bank' di mana pasukan-pasukan ini tidak boleh mendapatkan pemain baharu.

"Namun begitu, mereka hanya boleh mendaftar pemain baharu jika memperolehi pendapatan hasil daripada pengurangan jumlah pemain yang sedia ada dalam pasukan di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil pengurangan jumlah pemain keseluruhan," katanya.

Tambah Kevin, sekiranya pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen bawah untuk bertanding pada musim 2018.

"Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018," ujar Kevin.

FMLLP, Kelantan, Liga Super

Artikel Berikut

'Umur' Musuh Utama Rossi

Artikel Lain