suria

Wartawan Sukan veteran Guen Chin Meninggal Dunia

JOHOR BAHRU: Wartawan sukan veteran Dan Guen Chin meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, pada Selasa akibat kanser.

Guen Chin, 64 , menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.30 petang di samping isterinya, Angeline Boo, 55, dan anaknya, Jeremy Dan Jie Min, 20.

Guen Chin disahkan menghidap kanser perut sejak Jun 2016 dan telah beberapa kali menjalani rawatan kimoterapi.

Guen Chin yang telah menceburi bidang kewartawanan lebih dari 30 tahun itu, pernah berkhidmat dengan akhbar berbahasa Inggeris The Star, New Straits Times serta pernah menjadi wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Selain itu, beliau juga pernah bekerja dengan akhbar Singapura Today, dan terakhir dengan The Malay Mail sebelum jatuh sakit Jun lepas.

Beliau pernah menerima Anugerah Khas Media Johor 2015 oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di atas sumbangannya dalam bidang kewartawanan di negeri itu dan negara amnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan menerusi portal rasmi kerajaan negeri  "Jauhar", Mohamed Khaled  berkata pemergian Guen Chin merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan.

“Saya mewakili seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Johor merakamkan ucapan takziah di atas kematian wartawan Malay Mail Johor, Dan Guen Chin.

“Pemergiannya merupakan kehilangan yang besar kepada dunia kewartawanan memandangkan mendiang merupakan seorang pengamal media yang berpengalaman luas lebih dari tiga dekad.

“Beliau amat disenangi oleh para penjawat awam di Johor serta menjadi contoh bagi rakan-rakan media,” kata Mohamed Khaled.

Mendiang Guen Chin akan dibawa ke rumahnya di No 6 Jalan Sutera Biru 2, Taman Sutera, di sini.-Bernama

Dan Guen Chin, Kanser

Artikel Sebelum

Artikel Lain