Sukan SEA: Kontinjen Memanah Sasar Empat Kilauan Emas - Sukan | mStar

Sukan SEA: Kontinjen Memanah Sasar Empat Kilauan Emas

DARI KIRI: Nur Afissa (atlet), Marbawi, Shamsuddin, Mohd Zaki Mahazan (jurulatih compound) dan Fatin Nurfatehah (atlet).

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menaruh keyakinan tinggi untuk merangkul empat pingat emas pada temasya Sukan SEA, Ogos depan.

Pengurus pasukan, Shamsuddin Ibrahim berkata, sasaran emas tersebut amat realistik berdasarkan prestasi semasa atlet memanah negara.

"Kami sasarkan tiga pingat emas dari acara compound iaitu lelaki berpasukan, wanita berpasukan dan individu wanita.

"Manakala satu emas untuk acara recurve bagi pasukan lelaki.

"Walaupun sasarannya lebih kurang sama ketika aksi di Singapura dua tahun lalu, kami yakin mungkin ada kejutan akan berlaku melibatkan penambahan pingat," jelasnya ketika sidang media Program Kita Juara 2017 di sini pada Rabu.

Sementara itu, jurulatih acara recurve, Marbawi Sulaiman memberitahu, senarai atlet yang akan beraksi di Kuala Lumpur pada Ogos ini masih belum ditetapkan.

"Senarai akhir akan ditentukan pada Kejohanan Piala Asia (Peringkat 3) di Taiwan Julai ini dan kami akan membawa pemain yang terpilih untuk beraksi pada Sukan SEA nanti.

"Sebelum itu ada lagi empat kejohanan penting bagi persediaan semua atlet termasuk satu aksi tempatan iaitu Sirkit Memanah Kebangsaan dan Terbuka pada Mei ini.

"Serta tiga lagi kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia (Peringkat 1) di Shanghai, diikuti Piala Dunia (Peringkat 2) di Turki serta Kejohanan Piala Dunia Hyundai di Amerika Syarikat pada Jun.

"Setakat ini prestasi semua pemanah negara berada dalam konsisten dan berharap dapat mengekalkan prestasi mereka sehingga ke Sukan SEA nanti," ujarnya.

Sebagai rekod, pasukan pemanah negara berjaya merangkul lima daripada sepuluh pingat emas yang dipertandingkan pada Sulan SEA di Singapura dua tahun lalu.

Memanah , Sukan SEA

Artikel Berikut

'Arkitek' Kedah Belum Pulih

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Elvis Presley 'kawal' trafik di Jerman