suria

Azraai Khor Sedia Bantu Kedah

JURULATIH berpengalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah sedia membantu pasukan Kedah jika khidmatnya diperlukan selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan skuad tersebut.

Pengendali skuad hijau kuning ketika ini, Cheng Hoe bakal dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Berikutan itu, kekosongan jawatan ketua jurulatih Kedah menjadi teka-teki buat penyokong Kedah ketika ini.

Mohd Azraai berkata, bagaimanapun setakat ini beliau belum menerima sebarang tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

"Tiada apa-apa perkembangan berhubung perkara itu.

"Sebagai anak watan Kedah, sekiranya ditawarkan pihak pengurusan pasukan itu, saya bersedia untuk membantu.

"Namun mereka (KFA) lebih tahu sekiranya memerlukan bantuan mereka akan hubungi saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bekas jurulatih Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan itu menjawab laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik Pengerusi Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri sebagai berkata, khidmat bekas pengendali juara berganda itu masih diperlukan oleh Kedah.

Laporan itu juga mendakwa Mohd Azraai sebagai calon terdekat yang boleh mengisi jawatan yang ditinggalkan Cheng Hoe sambil tidak menafikan kemampuan Ramon Marcote.

Marcote yang merupakan bekas penolong Cheng Hoe antara calon pilihan sebahagian besar penyokong kerana dia dikatakan membawa corak permainan tiki-taka serta bola sepak moden di Alor Setar.

Faktor itu juga membawa Kedah menjuarai Liga Premier dan Piala Malaysia setahun kemudian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain